Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Inside Scoop pada Selasa, ini adalah susulan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengarahkan semua premis menjual produk aiskrim campuran ubat batuk itu dihentikan serta merta.
"Berikutan nasihat daripada Kementerian Kesihatan, kami mengucapkan selamat tinggal kepada perisa ais krim Pei Pa Koa, berkuat kuasa serta-merta.
" Namun begitu, jika anda telah membuat pesanan perisa ini secara dalam talian, pihak kami akan menghubungi anda untuk pemulangan wang dengan segera," jelasnya lagi menerusi aplikasi X.
Pada masa sama, Inside Scoop turut memohon maaf atas segala kesulitan dan menghargai keprihatinan orang ramai.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim dicampurkan ubat batuk dihentikan serta-merta bagi tujuan keselamatan pengguna.
KKM berkata, semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang ditularkan mendapati bahawa aiskrim berkenaan disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak).
Menurutnya, ia dilaksanakan menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
“Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) merupakan produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.
“Ia digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.
“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
KKM juga memaklumkan orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk mengetahui maklumat lanjut.