KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi bayangan UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan sekiranya beliau dan rakan sekutunya memenangi jawatan Presiden parti itu.

Menerusi ciapan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, Khairy dikatakan berkata demikian ketika berucap pada program Regional Outlook Forum 2023 di Singapura pada Selasa.

Dalam ucapan sama, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menegaskan sekiranya beliau menjadi Presiden UMNO, tiada perubahan dalam jawatan Perdana Menteri namun tidak menolak kemungkinan ada perubahan pada jawatan Timbalan Perdana Menteri.


Sementara itu, berdasarkan video yang tersebar di media sosial, Khairy ketika berucap dalam majlis itu menegaskan, pemilihan kali ini adalah 3R untuk UMNO iaitu 'Reform, Relevan atau Rest In Peace'.

"Jadi kita pergi ke pemilihan ini, dengan harapan dapat menentukan hala tuju baharu untuk UMNO.

“Sekarang ada kebimbangan dan kebimbangan ini disuarakan mereka yang rasional, mengatakan sekiranya ada perubahan kepimpinan UMNO, ia akan membawa ketidakstabilan politik.

“Ini kerana ia akan menjurus kepada kejatuhan kerajaan, yang akan membawa kepada satu lagi “Langkah Sheraton” dan kerajaan baharu akan mentadbir dan Perdana Menteri baharu akan angkat sumpah.

“Anthony (Anthony Loke), saya mahu katakan ini dengan jelas, di hadapan semua tetamu bahawa jika saya atau sekutu saya memenangi jawatan Presiden, meneraju tampuk pemerintahan UMNO, kita akan terus sokong Kerajaan Perpaduan, Anwar Ibrahim dan kepada anda,” katanya dalam ucapan itu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga menegaskan beliau mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Begitupun, Khairy menyatakan masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding jawatan Presiden atau tidak.

Menurut Kian Ming lagi, Khairy juga berkata beliau mahu kerajaan yang ada sekarang terus bertahan dan kekal stabil.


Pemimpin UMNO itu juga menegaskan beliau tidak menyokong sebarang usaha di belakang tabir untuk menukar kerajaan.

Regional Outlook Forum 2023 yang diadakan selama lima hari di Singapura menampilkan beberapa personaliti terkemuka dari Malaysia termasuk Menteri Pengangkutan, Athony Loke Siew Fook dan tokoh perbankan, Tan Sri Mohamed Nazir Razak.