KUALA LUMPUR: Keputusan injuksi yang dimohon oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi menangguhkan pengumuman tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN berkenaan.


Ringkasan AI
  • Keputusan Injunksi: Keputusan mengenai injunksi yang dimohon oleh Mohd Azizi Abu Naim akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Injunksi ini bertujuan untuk menangguhkan pengumuman tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Nenggiri.
  • Kesalahan DUN Kelantan: Mohd Azizi mendakwa DUN Kelantan melakukan kesalahan dalam mengumumkan kekosongan kerusi, termasuk pengumuman di luar sidang DUN. Beliau juga menyatakan bahawa prosedur sebenar tidak diikuti, dan beliau tidak menerima notis secara formal daripada pejabat Speaker.
  • Status Kerusi: Pada 19 Jun, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan berdasarkan notis bertulis mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu. SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri untuk membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan


Mengesahkan perkara tersebut, Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata permohonan injunksi tersebut dihantar pada Isnin lalu.

"Langkah pertama adalah kita mohon mendapatkan injunksi supaya tidak ada apa-apa pengumuman daripada SPR. Sebab kalau tengok, SPR mengatakan pada Jumaat ini akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh PRK.

"Tetapi mungkin selepas kita dapat keputusan daripada mahkamah, maksudnya SPR akan tangguh dahulu pengumuman berkenaan tarikh pilihan raya.

"Buat masa ini kita mohon perintah injunksi ini untuk memastikan tidak ada pilihan raya sehingga peguam saya masukkan perkara-perkara lain yang boleh atau menghalang keputusan Speaker DUN Kelantan (Datuk Seri Mohd Amar Nik Abdullah) memastikan pengosongan kerusi tersebut," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Parlimen pada Rabu.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jika SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting pilihan raya, Mohd Azizi berkata tidak ada keperluan untuk beliau berbuat demikian.

Sebaliknya, beliau mendakwa DUN Kelantan telah melakukan beberapa kesalahan dalam mengumumkan kekosongan kerusi tersebut termasuk ia dibuat di luar sidang DUN Kelantan.

"Sepatutnya setelah mendapat notis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pengosongan kerusi, Speaker sepatutnya hantar dahulu notis kepada saya untuk saya jawab.

"Tetapi sehingga saat ini kita tidak menerima apa-apa dokumen daripada pejabat Speaker mengatakan saya ini telah diisytiharkan kosong. Kita dapat maklumat daripada media. Kalau mengikut prosedur sebenar, setelah Speaker menerima apa-apa dokumen daripada parti, Speaker kena maklumkan saya dahulu," ujarnya.

Pada 19 Jun lalu, Mohd Amar mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.

Susulan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri Jumaat depan bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.