Peningkatan pengundi muda di dua pilihan raya kecil (PRK) lalu bukanlah menjadi tanda aras sokongan mereka terhadap Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Demikian menurut Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang merasakan bahawa jentera UMNO perlu dimantapkan lagi dalam menuju PRU-14.

Katanya, melalui dua PRK iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar ia menunjukkan bahawa dengan calon dan kempen yang tepat, parti mampu mendapat sokongan daripada generasi muda.

"Banyak faktor yang berbeza antara PRU dan PRK, kita masih perlu mantapkan jentera kita dan program-program nak disampaikan kepada rakyat.

“Namun, peningkatan pengundi muda sehingga 4 hingga 5 persen di dua PRK lalu dalam kajian yang dibuat Pemuda UMNO menunjukkan bahawa dengan calon dan kempen yang tepat kita mampu menarik sokongan mereka,” katanya.

Khairy berkata demikian majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (SHAKAM) dan majlis berbuka puasa Majlis Sukan Negara (MSN) di Perkarangan Surau Al-Faizin, MSN Bukit Jalil pada Isnin.

BN pada Sabtu berjaya mengekalkan kerusi di kedua-dua Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi telah menewaskan dua calon lain dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.

Di Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.