DALAM arena politik negara saat ini, ada saja cerita demi cerita timbul dan terbaharu, kisah syarat UMNO kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menjadi topik perbincangan hangat.

Ramai memerhati, meneka dan meramal apa mungkin ‘end-game’ dalam Perikatan Nasional (PN) ekoran kemelut itu.

Penganalis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menegaskan apa yang dilakukan Majlis Tertinggi UMNO ketika ini seolah-olah memanipulasi sistem politik negara.

“Mereka yang jadi Yang Berhormat (ahli Parlimen) itu, status mereka adalah penggubal undang-undang, jawatan mereka itu penggubal undang-undang.”

Begitupun, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib menegaskan apa yang dilakukan Majlis Tertinggi UMNO ketika ini seolah-olah memanipulasi sistem politik negara.

“Bagaimana kita nak letakkan kepercayaan sekiranya penggubal undang-undang itu kelihatan seolah mewujudkan persepsi bahawa kerajaan boleh tertubuh dengan pertukaran barter, iaitu peletakan syarat sokongan dan sebagainya.

Tegasnya, kemelut itu sebenarnya datang dari UMNO sendiri - melibatkan ahli UMNO sedia ada dan juga bekas ahli UMNO.

“Sekiranya alumni UMNO boleh berkompromi dengan kumpulan-kumpulan yang masih ada dalam UMNO, saya fikir ia baik untuk negara.

“Pergolakan sebegini, seperti yang telah berlaku kepada DAP atau Pas, tidaklah menjerumus negara ke arah apa yang kita lihat sekarang ini sehingga nak tubuhkan kerajaan pun ada tawar-menawar, barter trade (pertukaran barter) dan ada bargaining process (proses tawar-menawar).

“Ini merosakkan sistem dan institusi kita,” katanya.

Tambahnya, pertembungan UMNO dan Bersatu sebenarnya tidak menguntungkan kedua-dua parti itu.


PENYATUAN, TUBUH GAGASAN

“Saya fikir kalau perlu ada penyatuan, kenapa tidak UMNO dan Bersatu membentuk satu gagasan yang lebih besar di dalam sebuah parti seperti UMNO juga.

“Mungkin boleh diadakan UMNO-Bersatu dan sekiranya kepada kelompok bukan Bumiputera untuk sertai, kita tiru format Pas yang ada Dewan Himpunan Penyokong dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, UMNO dan Bersatu sama-sama perlu bertolak ansur bagi memastikan persetujuan dapat dicapai.

Menurutnya, kedua-duanya harus sedar bahawa agenda yang lebih besar adalah memastikan kestabilan politik dapat dicapai.

“Walaupun kita tahu, pelbagai tuntutan yang diberikan itu, dianggap dalam kalangan pemimpin UMNO dianggap sesuatu yang munasabah, namun dalam konteks pada hari ini, landskap politik hari ini, mungkin tuntutan itu boleh dibincangkan.

“Mungkin ia juga boleh diperhalusi dengan lebih mendalam terutamanya melibatkan kepimpinan tertinggi Bersatu dan UMNO,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan seorang lagi penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain yang berpendapat, segala syarat dan tawaran perlu diperhalusi sebaiknya bagi memastikan keputusan terbaik dapat dicapai.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed

RUNDINGAN PERLU ‘WIN-WIN’

“Saya difahamkan mereka sedang berunding dan rundingan itu bergantung kepada kedua-dua pihak. Pada pandangan saya, rundingan mesti menang-menang.

“Kalau rundingan itu tidak ada bersifat menang-menang, saya fikir UMNO mungkin akan menarik diri,” tegasnya.

BACA: UMNO pertimbang tarik diri daripada menyokong PN

BACA: Jelaskan perincian syarat baharu, permintaan Muhyiddin pada UMNO

Tambah beliau, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin pastinya mengetahui apa isu yang membuatkan UMNO tidak berpuas hati dan Muhyiddn sendiri boleh memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kemelut itu.

Kemelut UMNO dan Bersatu dilihat semakin meruncing selepas baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.