Dari Kota Kinabalu menuju ke bahagian pedalaman Sabah di Keningau, anda akan melalui bulatan jalan Semboton, iaitu ikon alat muzik tradisional masyarakat Kadazandusun Murut (KDM).

Ia menandakan anda telah sampai ke daerah Tambunan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Keningau.

Istimewanya masyarakat di kawasan Parlimen Keningau dan DUN Tambunan ini, ia diwakili seorang pemimpin agung komuniti KDM atau 'Huguan Siou' Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).


Pairin berjaya mempertahankan kerusi DUN Tambunan sejak 1976 dan tidak pernah kalah dalam mana-mana pilihan raya yang ditandinginya.

Kerusi Parlimen Keningau juga dipegangnya sejak 1985.


Sebagai pemimpin yang telah lama berkhidmat, berita mengenai persaraannya, yang timbul akhir-akhir ini, sedikit sebanyak menimbulkan rasa sayu dalam segelintir hati pengundi.

"Kami masih mahu Pairin (bertanding), sebab susah mahu cari penggantinya.

"Tetapi kalau beliau tidak lagi mahu bertanding, kami terpaksa terima juga. Apa boleh kami buat?" kata Justina Lakiwit, yang menjual sayur di Pekan Tambunan.

Seorang lagi pengundi yang ditemui, Alai Ungit, 56 tahun, mengakui agak terkilan dengan berita persaraannya itu.

"Jika benar beliau tidak lagi akan bertanding dan meneruskan perkhidmatannya di kawasan ini, saya rasa macam kehilangan seorang pemimpin yang dari dulu memperjuangkan suara rakyat, terutama orang Kadazandusun Murut," katanya.

Yoni Jaduros pula berkata dia menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Pairin kerana mengakui beliau telah lama menabur bakti kepada rakyat.

"Ya, kami terima sahaja. Terserah kepada dia. Apa sahaja keputusannya, tetap kami hormati. Memang sudah lama dia jadi wakil rakyat. Bagus juga bagi dia berehat," katanya.

Pairin, seorang tokoh veteran yang namanya tidak asing lagi dalam arena politik Sabah, sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bersara dan tidak bertanding dalam PRU14.

Namun, apabila sering ditanya pemberita untuk pengesahan sama ada bakal bertanding atau tidak untuk mempertahankan kerusinya, Pairin sering berseloroh berkata beliau mahu meluangkan masa bersama cucu-cucunya.

Pairin sebelum ini juga pernah membayangkan kebarangkalian 99 peratus mungkin akan bersara.

Hanya 1 peratus kemungkinan untuk dia kekal bertanding, sekiranya khidmatnya masih diperlukan, katanya.