Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kuota jawatan nombor dua negara itu adalah bagi memastikan kuasa dapat menyelesaikan permasalahan dan kepenting rakyat negeri itu.
Malah beliau yakin, sekiranya BN menang secara dominan, jawatan TPM dari Sabah akan diberikan peranan dan kuasa untuk pembangunan wilayah Borneo.
"Tidak ada gunanya ada TPM tapi tiada peranan dan kuasa untuk menentukan pembangunan di Sabah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengakui jawatan TPM pernah dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) tetapi mereka tidak menunaikannya ketika mentadbir negara selepas PRU14.
Sebaliknya menurut beliau, BN Sabah pula akan memasukkan jawatan TPM dari Sabah dalam manifesto parti itu dan berjanji akan melaksanakannya apabila entiti tersebut menang secara dominan pada PRU15.
"PH gagal tunaikan dan hanya janji kosong. Tapi dalam konteks Sabah ini, apa yang dikatakan akan dikotakan dan BN Sabah akan menyediakan bakal TPM yang lebih berwibawa dan lebih fokus kepada tugas sebagai TPM.
"BN Sabah akan menunaikannya dan urusan untuk pelantikan itu akan lebih dipermudahkan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Ketua Biro Polisi DAP Sabah, Chan Foong Hin yang mengatakan bahawa jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak itu adalah idea PH dan telahpun dibincangkan untuk manifesto mereka sebelum BN membuat pengumuman mengenai perkara itu
Foong Hin dalam kenyataannya berkata, mereka sebenarnya bercadang untuk mendedahkan perkara itu ketika melancarkan manifesto PH tetapi kini terpaksa bercakap mengenainya, kerana Datuk Seri Zahid Hamidi menyebut tawaran sama ketika lawatannya ke Kimanis hujung minggu lalu.