KUALA LUMPUR: Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan permintaan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri, menteri serta timbalan menteri baharu seperti dikemukakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, tegas bekas Perdana Menteri itu, dalam keadaan sekarang, kerajaan perlu memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi daripada memikirkan mengenai pelantikan tersebut.

“Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baharu, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatankuasa?

“Sedangkan PRU semakin dekat? Paling lama pun kurang setahun lagi,” kata Najib dalam catatan di Facebook beliau hari ini.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pekan itu menulis, beliau memahami permintaan sedemikian dibuat oleh Muhyiddin kepada Perdana Menteri kerana bimbang lebih ramai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan parti itu.

“Saya faham kenapa dia terdesak sehingga tahap ini. Dijadikan gula-gula untuk elak lagi ramai pemimpin-pemimpin PPBM lompat keluar partinya seperti yang sedang berlaku sejak awal tahun ini.

“Harap kerajaan jangan layan. Fokus pada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis-majlis ditubuhkan,” tulis Najib lagi dalam hantaran tersebut.

Semalam, Muhyiddin Yassin berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu berkata pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri beberapa hari yang lepas, di mana saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan, bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

"Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu tetapi hanya soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan," katanya seperti dilaporkan.