SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mempersoal tindakan Pakatan Harapan (PH) tidak mengambil tindakan terhadap pemimpin yang kecil ketika mentadbir negara selama 22 bulan.

Ia termasuk tindakan terhadap dirinya pada ketika itu kerana tiada kes boleh disabitkan oleh pihak berkuasa.

"Kalau dulu (saya) ada kes, kenapa dalam 22 bulan tak ambil tindakan? Mungkin mereka akan jawab, kita sibuk dengan kes Zahid, kes Najib jadi tidak ada masa kita nak ambil kes pemimpin kecil.

"Habis tu, Ahmad Maslan tu pemimpin apa? Azeez Rahim tu pemimpin apa?

"KJ punya darjat lagi tinggilah dari Ahmad Maslan, dan Azeez Rahim. Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor), Shahrir Samad (Tan Sri Shahrir Samad), kalau dapat saya, kamu (PH) boleh dapat lagi besar manfaatnya.

"Tetapi, kamu tak boleh buat apa. Saya berani cakap walau ini kempen pilihan raya, tetapi saya boleh kata tiada satu benda boleh diambil tindakan," katanya, semasa menyampaikan Ceramah "Kata Janji KJ" di sini, pada Isnin.
LIHAT SEMUA CALON-CALON PRU14 DI SINI


Ujarnya lagi, sejak zaman Pak Lah, beliau adalah 'budak' paling dibenci Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRU15 | Khairy beri bayangan manifesto kepada pengundi

"Jadi, beliau (ketika itu) sudah dapat kuasa 22 bulan, pemimpin macam Zahid dan Najib kena tuduh di mahkamah, saya ini satu kertas siasatan pun tidak dibuka terhadap saya kerana tiada kes terhadap saya.

"Zero" kes terhadap saya," tegasnya.

LIHAT KEPUTUSAN PRU14 DI SINI

Justeru, beliau mengingatkan parti lawan agar tidak cuba mengitarsemula isu berkenaan kerana tiada satu bukti yang boleh mensabitkan apa-apa kesalahan kes terhadap dirinya.

"Malah, satu kertas siasatan pun mereka tidak berani nak buka, kerana memang tiada bukti.

"Saya menjalankan amanah saya dengan baik dan amanah sewaktu saya menjadi Menteri Belia dan Sukan.

"Kalau tak, saya dengan Azeez Rahim pakai baju oren sekali," ujar beliau.

Katanya lagi, beliau bukan pemimpin yang takut kepada siasatan sehingga terdesak melompat parti.

"Ada yang takut kepada siasatan, dia lompat, dan apabila lompat kepada PH segalanya sudah maksum, bersih, dan suci. Dulu dituduh korup, namun apabila masuk PH, dia bersih dan suci.

"Saya tidak pilih opsyen itu, saya berani sebab tiada bukti terhadap saya.

"Tidak terlintas dalam pemikiran saya sekalipun, untuk lompat sebab saya nak lawan mereka sebab saya fighter," tambahnya.