SURAT terbuka kepada Anwar Ibrahim dan pemimpin politik blok pembangkang.
Biarkanlah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik ini uruskan siapa beliau hendak pilih jadi Timbalan Perdana Menteri, siapa akan jadi menteri dalam Kabinet. Di bawah Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas disebut: “Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.”
Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) tidak perlu jadi budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat tak tentu hala Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik ini. Rakyat tak suka, semua orang tak suka. Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara dengan tenteram. Jika Perdana Menteri menghadapi asakan atau diganyang oleh saingan politiknya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau lain-lain parti dalam payung besar Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN), ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang. Kalau cerita penglipur lara di sebut, “ biarkan si Luncai, terjun dengan labu-labunya.”
Jadi apa yang Pakatan Harapan perlu lakukan sekarang selepas terlepas peluang untuk kembali jadi kerajaan? Jawapannya mudah sahaja. Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun lagi.
Jangan campak Anwar ke bawah bas selepas beliau gagal dalam persaingan menjadi Perdana Menteri ke-9. Pakatan Harapan amat memerlukannya sekarang untuk menjadi komander dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat dalam kerajaan perpaduan ataupun kerjasama bipartisan. Kalau Pakatan Harapan yang memimpin kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama bipartisan itu masuk akal dan berfaedah. Tetapi kalau Pakatan Harapan sekarang ibarat seperti melukut di tepi gantang, yang tak dijemput, tak diundang, jangan sampai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
Pakatan Harapan bukan satu jenama yang koyak dan kalah. Pakatan Harapan adalah jenama politik untuk masa depan. Pakatan Harapan hanya kurang enam undi sokongan sahaja untuk mendapatkan majoriti membentuk Kerajaan Persekutuan. Itu tak susah diperolehi di dalam pilihan raya akan datang.
Penting ditegaskan di sini. Saya bukan macai Anwar. Saya pengkritik lantang kepada Anwar dalam parti dan di luar parti, secara terbuka ataupun secara “one to one” secara peribadi. Kalau tak percaya, boleh tanya Anwar sendiri. Banyak insiden saya menentangnya. Anwar suruh Ahli Parlimen pembangkang duduk, tetapi saya berdiri di dalam Parlimen. Saya langgar disiplin. Saya langgar arahan Anwar. Saya ikut hati nurani saya sebagai seorang Ahli Parlimen.
Tetapi di dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap, janganlah ada kawan-kawan dalam Pakatan Harapan yang suruh Anwar letak jawatan. Saya dengar ada cadangan minta Pakatan Harapan pilih pemimpin lain. Mereka berhujah kononnya, Anwar sudah tak diperlukan lagi. Ini semua “nonsense”. Cakap-cakap seperti itu datang dari Deep State, dari musuh Pakatan Harapan yang memang hendak menghancurkan Pakatan Harapan dan Anwar terutamanya.
Anwar sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika beliau tunduk terhadap tututan 'Kluster Mahkamah' daripada UMNO. Anwar tidak berkompromi. “Rule of law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati. Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Itu pendirian tegas Anwar. Apa yang Anwar buat itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa Anwar lulus dalam ujian. Beliau tidak gila kuasa. Beliau tidak mabuk jawatan. Anwar tetap mempertahankan idealisme reformasinya yang diketuainya lebih 23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa Perdana Menteri yang tempoh memanas kerusi tak sampai dua tahun sahaja dari saat ini. Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang bukannya kepentingan peribadinya untuk jangka pendek.
Begitu juga. Anwar sudah ada di Pejabat Perdana Menteri hari ini, kalau beliau menagih sedekah sokongan dari GPS di Sarawak dan tunduk terhadap tekanan dengan berjanji jawatan itu dan ini. Anwar tidak tergoda untuk meraih sokongan seperti pengemis politik. Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden Keadilan (PKR) ini ada maruah, ada integriti. Beliau tetap tenang dan tawakkal. Anwar telah lulus ujian.
Pemimpin-pemimpin pelapis, dalam kalangan muda, dalam pemuda dan wanita, tampillah ke depan. Pemimpin-pemimpin senior Pakatan Harapan bangun dan bergerak ke saf hadapan. Tetapi usah Anwar cuba dipinggirkan. Sekali lagi saya mohon, jangan campak Anwar ke bawah bas. Bayangkan senario pernah terjadi. Selepas PRU-13, Anwar dihumban oleh regim UMNO/BN Datuk Seri Najib Razak ke penjara. Pakatan Rakyat pecah dan hancur.
Lontarkanlah segala kata nista yang buruk-buruk serta fitnah seranah kepada Anwar, jika itu golongan yang membenci Anwar mahu lakukan. Tetapi jangan lupa, orang yang bernama Anwar Ibrahim inilah yang bangun dan muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti pembangkang sehingga Pakatan Harapan berjaya menumbangkan UMNO/BN dan Najib dalam PRU Mei 2018 lalu.
Jadi kepada Anwar, saya berharap supaya tenang dan fokus. Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi PRU15 akan datang supaya kita dapatkan semula mandat rakyat dan di tanah air kita ini akan kita bangunkan sebuah negara moden yang progresif, yang adil dan demokratik; sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat semua kaum dan agama dengan berasaskan dasar keadilan untuk semua.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Isnin 23 Ogos 2021
*Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Kenyataan Media
Mon Aug 23 2021
Hassan meminta Pakatan Harapan menumpukan segala tenaga dan fikiran kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun lagi. - Gambar fail
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
Hassan Karim tak gentar digantung, dipecat
Hassan menegaskan beliau adalah seorang yang berpegang kepada prinsip dan tidak akan tunduk atau berdiam diri terhadap perkara tidak betul.
Hassan rela 'dipancung', tidak sanggup lihat demokrasi mati
Hassan dakwa MoU berkenaan menyekat kebebasan dan amalan demokrasi ahli Parlimen untuk bebas membuat pilihan.
Jangan campak Anwar bawah bas, PH akan hancur - Ahli Parlimen Pasir Gudang
Hassan meminta Pakatan Harapan menumpukan segala tenaga dan fikiran kepada Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun lagi