Beliau menerusi satu deklarasi yang dimuat naik dalam Facebook miliknya pada Ahad mendakwa, MoU berkenaan menyekat kebebasan dan amalan demokrasi ahli Parlimen untuk bebas membuat pilihan.
Menurutnya, 19 Disember adalah tarikh keramat yang dipercayai merujuk kepada usul undi percaya yang akan tetap dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat bagi membuktikan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
"Lusa 19 Disember tarikh keramat di Palimen kami, aku isytiharkan di sini, aku akan mengundi bebas ikut hatiku, akan aku berikan undi kepercayaan kepada Perdana Menteri sahabatku.
"Namun begitu, sila dengar bicaraku. Adakah kita punya legitimasi..., wahai sahabat, beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti tetapi para MP (ahli Parlimen) hilang hak kebebasannya untuk mengundi?
"Ke mana perginya kepercayaan kita, kepada pertimbangan bijaksana?
"Mengapa MoU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam undi MP itu mesti mandatori tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan," soalnya dalam deklarasi tersebut.
Pada Jumaat, empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan PH diwakili pemimpin tertinggi masing-masing iaitu Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Nor manakala PH, diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusinya.
Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).
Antara isi kandungan MoU Kerajaan Perpaduan yang dilihat mengikat ahli Parlimen di bawah gabungan itu adalah apabila menyatakan mereka perlu mengundi dan menyokong setiap usul percaya dan rang undang-undang perbekalan atau apa-apa usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.
Sekiranya gagal, enggan atau cuai ketika menjalankan tanggungjawab mereka termasuk pada sidang khas Parlimen, Isnin depan, akan membawa kepada pengosongan kerusi Parlimen.
Justeru, itu dianggap sebagai peletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen manakala kerusi ahli Parlimen tersebut perlu dikosongkan seperti dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.
Hassan berkata, beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan MoU itu malah tidak rela melihat amalan demokrasi berkubur di Parlimen apabila ahli-ahli Parlimen tidak dibenarkan untuk bercanggah pendapat dengan pentadbiran kerajaan.
Luahnya lagi dalam deklarasi tersebut, ahli Parlimen bukan zombi atau robot yang hanya akan menurut kehendak kepimpinan tanpa mengambil kira pelbagai faktor termasuk kepentingan umum.
"Ke mana hilangnya keyakinan kita, kepada hati nurani manusia, sehingga tergamak kita memberi kata dua, patuh mengundi atau kamu hilang kerusi.
"Kepada sahabatku, benarkan aku bertanya, ini autokrasi atau demokrasi. Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat, lalu rayuan terakhirku, kembalikan hak kami para MP, bebas mengundi menurut akal dan budi," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau bersedia untuk berdepan sebarang tindakan sekiranya kerajaan Persekutuan kekal dengan keputusan untuk menetapkan syarat wajib tersebut kepada setiap ahli Parlimen.
"Maka, kepada mu abang Tuah, aku lafazkan satu deklarasi di sini, biarlah aku dipancung mati, aku tidak rela di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi," tegasnya. -Sinar Harian