KUALA LUMPUR: Pengumuman cuti hujung minggu di negeri Johor yang akan ditukar semula kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 diibaratkan seperti mengikut telunjuk penjajah Inggeris dan tidak disokong Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau dalam hantaran di Facebook pada Selasa, menyifatkan Jumaat adalah hari yang mulia dalam Islam dan mempunyai pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti bagi Johor di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor.

“Perubahan menjadikan Jumaat sebagai hari bekerja dan Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnya,” katanya.



Jelasnya, rakyat Johor yang bukan Islam juga menerima hakikat tentang budaya dan sejarah politik Johor yang menjadikan Jumaat adalah hari cuti di Johor.

Menurut Hassan, cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa kerana ia mempunyai makna dari sudut sejarah dan budaya Johor.

Beliau menganggap perubahan yang akan berlaku di Johor ini mempunyai makna tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri.

Sebagai rakyat biasa dan seorang ahli Parlimen dari negeri Johor, beliau akur dengan keputusan berkenaan kerana menyedari tidak mempunyai kuasa untuk membantah sebarang pindaan.

“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju saya dengan perintah yang dibuat oleh raja pemerintah negeri Johor yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti,” ujarnya.

Pada Isnin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).

Tunku Ismail turut mengarahkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi membincangkan perkara itu bersama Mufti Johor untuk meneliti pelaksanaannya daripada setiap sudut dan aspek.

Penyelarasan itu akan melibatkan keseluruhan penduduk Johor, termasuk 587,343 pelajar dan 1.948 juta pekerja sektor kerajaan dan swasta.