Mana-mana Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mempunyai hak untuk melontarkan apa sahaja pandangan yang tidak memberi kemudaratan kepada PH sendiri.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, pandangan itu akan disokong seandainya memberi impak positif namun pastinya teguran akan diberi jika sebaliknya.

"Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Ahli Parlimen Kapar) berhak bercakap atau melontarkan apa saja pandangan peribadi. Jika bernas kita sokong namun jika tidak, kita beri teguran.

"Saat ini merupakan detik permulaan kita untuk bertungkus-lumus membina semula negara. Bukan bergaduh atau bercakaran sesama sendiri yang bakal membuatkan rakyat memandang serong pada keseluruhan struktur PH," katanya dalam satu kenyatan di sini, hari ini.

BACA: Fikir dulu sebelum beri persepsi terhadap Tun Dr Mahathir - Khairuddin

BACA:
Jangan pertikai keputusan Dr Mahathir lanjut perkhidmatan CEP - Khairuddin

Abdullah Sani pada Ahad dilaporkan berkata, keputusan kerajaan yang mahu mengurangkan seterusnya memansuhkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), adalah satu pengkhianatan kepada rakyat yang memilih mandat baharu pada pilihan raya lalu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kapar itu turut mencetuskan kontroversi kerana mendakwa Tun Dr Mahathir cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu kata Khairuddin, Abdullah Sani perlu betul-betul faham setiap kenyataan Dr Mahathir sebelum membuat ulasan terbuka kepada media.

"Begitu juga pada ahli-ahli akar umbi seperti saya juga kena memahami secara mendalam aspirasi tokoh-tokoh pemimpin PH sebelum hendak membuat sebarang komen.

"Bila kita fahami dasar dan polisi yang diungkapkan oleh mana-mana pemimpin PH, barulah kita buat ulasan kepada keseluruhan rakyat.

"Kita berada di bawah satu bumbung. Kita adalah ahli keluarga. Kita harus berada dalam rukun persefahaman yang tulus ikhlas untuk menguatkan kedudukan PH," ujarnya.

Tegasnya, pihak lawan sedang memantau PH siang dan malam untuk membuat serangan sekiranya PH mempamerkan kelemahan secara terbuka.

"Semua ahli-ahli serta pemimpin-pemimpin PH harus bersatu secara jujur dan ikhlas bagi memacukan agenda bina semula negara ke tahap yang cemerlang demi masa depan keseluruhan rakyat," jelasnya.