KUALA LUMPUR: Reformasi parlimen baharu ini perlu lebih diperluaskan dalam konteks keterlibatan pembangkang bagi memberikan keseimbangan dalam parlimen.

Menurut Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abd Muis, penawaran ini seharusnya dilakukan lebih awal namun masih tetap menyambut baik dan dilihat mampu membuka jalan kepada pelbagai lagi reformasi politik.

"Terutamanya yang melibatkan dasar dan juga jawatankuasa contohnya urusan penting di mana barangkali akan ada keseimbangan kedudukan Ahli Parlimen kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang dalam jawatankuasa itu.

"Reformasi ini juga mampu memberikan satu gencatan politik kepada kedua-dua belah pihak dan seterusnya membuka ruang kepada kerajaan untuk lebih fokus dalam mendepani pandemik COVID-19  dan bersedia untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan cara masing-masing," katanya kepada Astro AWANI.

Mujibu berpendapat, parlimen seharusnya menjadi medan perbahasan yang mampu melahirkan satu percambahan idea serta persaingan pendapat yang baik dan bukan sebagai gelanggang berpolitik.

Dalam pada itu, Mujibu berkata, kerajaan perlu mengubah corak orientasi dalam melayan ahli pembangkang sebagai rakan profesional.
  
"Pembangkang tidak lagi boleh dilihat sebagai musuh abadi tetapi harus dilayan sebagai rakan yang profesional dan mereka ini harus dilayan sebagai saingan yang berkualiti yang barangkali boleh memberi input yang tidak barangkali dilihat atau terlepas pandang oleh kerajaan," katanya.