KUALA LUMPUR:Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein seolah-olah memberi gambaran bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung dalam masa terdekat.

Ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, beliau berkata, mesyuarat pada kali ini mempunyai nilai dan makna tersendiri memandangkan ia mungkin menjadi mesyuarat UMNO bahagian yang terakhir sebelum PRU.

"Ini kerana, besar kemungkinan inilah mesyuarat UMNO bahagian terakhir sebelum kita melangkah ke medan pertempuran paling besar dan sengit iaitu Pilihan Raya Umum ke-15.

"Justeru kita tiada pilihan, selain mesti menjadikan mesyuarat hari ini sebagai gelanggang. Untuk bersama-sama mencorak strategi yang ampuh, mempersiapkan senjata dan kelengkapan, menguatkan mental, mengentalkan jiwa, membina keberanian dan paling utama, merapatkan saf dan barisan," katanya.

Ekoran itu, Hishammuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berharap agar semua akan ke 'medan pertempuran' nanti sederap dan sehaluan.

"Kalah dalam pertempuran nanti bukanlah pilihan yang kita ada. Satu-satunya matlamat kita hanyalah menang.

"Sebagai Ketua Bahagian, saya mesti pastikan setiap gerak kerja, segala persiapan, semua pelaksanaan strategi, setiap usaha ke arah kemenangan ini, mendapat sumbangan tenaga yang paling padu daripada pejuang-pejuang UMNO Sembrong," ujarnya.

Beliau berkata, UMNO perlu menang bukan untuk mana-mana pihak dalam parti itu.

Sebaliknya kata beliau, ia adalah demi maruah serta kelangsungan parti serta mengukuhkan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

"Yang paling penting adalah bagi memastikan kesucian Islam serta hak bangsa Melayu di negara ini terus terbela," tambahnya.