Menurutnya, beliau mengikuti pengumuman daripada Perdana Menteri ketika membentangkan belanjawan itu namun berasakan tiada tindakan segera dilakukan, khususnya daripada menteri.
Tegas Ahli Parimen Sembrong itu, adalah tidak mencukupi andai menteri hanya memberi kenyataan melalui sidang media atau di media sosial.
Tambahnya, tindakan mesti diperlihatkan kepada rakyat dan pada masa sama, rakyat merasai hasil tindakan tersebut.
“Saya secara peribadi pun merasakan sukar untuk mengenal pasti 'key take-away' yang utama daripada belanjawan yang dibentangkan.
“Menteri-Menteri pun kelihatan tidak minat dan kehadiran dalam Dewan ini pun seolah-olah tidak peduli untuk mendengar perbahasan bajet. Hal ini membimbangkan kita sebagai Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini.
“Saya di sini bukan untuk menuding jari kepada sesiapa, tetapi hanya memberi pandangan supaya kerajaan mesti dilihat sebagai pihak yang mampu memberikan harapan dan sandaran kepada rakyat,” katanya.
Ujarnya lagi, menteri harus meletakkan diri mereka di tempat rakyat, merasai kesusahan dan kebimbangan mereka agar tindakan kelak seiring dengan harapan dan keperluan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Astro AWANI pada 13 Oktober lepas melaporkan kerajaan memperuntukan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 yang dikenali sebagai Belanjawan Madani Kedua, sekali gus menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM303.8 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM90 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.