PUTRAJAYA: Kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak pembangkang berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Ringkasan AI
  • Kerajaan belum menerima maklum balas daripada pihak pembangkang mengenai draf MoU penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
  • Pada 20 Ogos lalu, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata telah menerima draf MoU dan akan membincangkannya dalam masa terdekat.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Julai menyatakan isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.


"Tanya pembangkang... belum dapat lagi, belum dapat respons daripada mereka," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis TVET Competent Suruhanjaya Tenaga (ST) - Energy Transition Catalyst di sini hari ini.

Pada 20 Ogos lepas Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata sudah menerima draf MoU tersebut dan akan membincangkannya dalam masa terdekat.

Pada 9 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Beliau berkata syarat ditetapkan kepada mana-mana ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA