Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata DAP tidak boleh memaksa PAS untuk meminggirkan dasar parti yang telah dibuat sekian lama.
Katanya, hasrat PAS mahu melaksanakan hukum hudud dalam pentadbirannya di Kelantan kerana ia merupakan tuntutan Islam.
"DAP tak boleh paksa PAS lawan Tuhan, ini perintah Tuhan, ini perintah Allah, yang kita nak buat ini perintah Allah.
"Keputusan 29 Disember ini akan dirujuk kepada jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan melibatkan kerajaan Kelantan dan kerajaan persekutuan.
"Ia akan melalui proses demokrasi, bukan terus laksanakan, perlu dibawa ke parlimen sebelum ia dibenarkan untuk kita (PAS) laksanakan di Kelantan.
"Kalau dalam perbincangan itu, pindaan ini ditolak, kita terima, kalau Allah tanya esok kita jawab, ini lah yang kita termampu kita buat dalam proses demokrasi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mustafa juga menasihatkan pemimpin-pemimpin DAP, supaya tidak cepat melatah dalam isu pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan pada 29 Disember ini.
Jelas beliau, DAP perlu memahami bahawa apa saja keputusan dari sidang khas Dewan Undangan Megeri (Dun) Kelantan nanti, Kanun Jenayah Syariah belum boleh dilaksanakan.
Mengulas mengenai desakan pemimpin DAP, Gobind Singh Deo yang mahu PAS disingkirkan dari Pakatan Rakyat jika parti itu dengan pendiriannya mahu melaksanakan hukum hudud, Mustafa berkata mana-mana parti dalam gabungan tersebut tidak boleh disingkirkan.
Hujah beliau, Pakatan Rakyat merupakan satu gabungan yang longgar, dan tidak ada parti yang boleh menyingkirkan parti lain.
Sebaliknya, Mustafa berkata, mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat boleh memutuskan untuk keluarkan dari gabungan tersebut jika merasakan mereka tidak lagi sesuai untuk bekerjasama.
"Contohnya tahun 2001, DAP ambil keputusan keluar dari gabungan parti pembangkang yang kita namakan Barisan Alternatif kerana merasakan tidak lagi sesuai untuk bersama.
"Saya mengandaikan, waktu itu (2001) sudah dekat nak plihan raya negeri Sarawak, DAP rasa kalau kerjasama dengan PAS akan merugikan mereka, itu andaian saya, mungkin saya silap.
"Saya jangkakan kenyataan pemimpin DAP pusat ini dibuat kerana terpengaruh tekanan dari pemimpin DAP Sarawak, sepatutnya kita tidak seharusnya tertakluk kepada faktor itu untuk melihat kepentingan perjuangan kita," katanya lagi.