Menurutnya, tohmahan bekas Menteri Kewangan itu sebagai memakan dirinya sendiri seperti perumpamaan ‘meludah ke langit, terkena muka sendiri’.
Katanya, beliau berasa hampa dengan pendirian bekas pemimpin kanan parti UMNO itu yang sebenarnya juga pernah berpaut pada simbol dacing satu ketika dahulu sehingga dilantik ke jawatan tertinggi kerajaan.
"Dulu, parti dacing itulah yang memberikan kemenangan kepada mereka, parti dacing itulah yang dulunya, memperjuangan kebenaran dan keadilan yang menjadikan orang itu Menteri Kewangan.
"Kini, kerana mereka mempunyai agenda peribadi untuk menaikkan kroni masing-masing, menyebabkan mereka berbalik kepada cara kononnya dacing (menipu)," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Zon Jambatan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang di sini,hari ini.
Katanya, sebagai seorang yang pernah berkhidmat dalam arena politik Daim sewajarnya membantu dan memberi sokongan kepada pemimpin pelapis hari ini yang masih berjuang kerana beliau tidak lagi berada di persada tertinggi politik.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata semua itu gagal dilaksanakan berikutan kebencian terhadap BN hanya kerana anak seseorang individu tertentu gagal dalam pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO sebelum ini.
"Kalau orang lain, boleh bersabar sehingga 30 ke 40 tahun ... soal kepimpinan ini adalah soal kehendak rakyat, bukan berdasarkan kehendak seseorang sehingga memdorong mereka menikam BN dari belakang,"katanya lagi.
Ahmad Zahid juga mengingatkan bahawa seseorang itu harus menyedari kehebatan dirinya adalah bersumberkan keunggulan parti yang menyokong di belakang seperti UMNO dan parti komponen yang lain dalam BN.
"Saya terfikir kalau ada surat terbuka pun, ia dibuka oleh seseorang, surat terbuka itu adalah surat terbuka yang menjilat air liur, meludah dan air liur itu kena ke muka sendiri. Sebenarnya, bagi saya, saya tidak mahu berlawan dengan mereka kerana saya menghormati mereka.
"Tetapi, kalau mereka merosakkan parti saya dan parti dokongan rakan-rakan saya…merosakkan Barisan Nasional, saya mesti mempertahankannya. Mana boleh atas kepentingan peribadi, atas nama kepentingan kroni, atas nama perniagaan mereka mahu rosakan BN mereka mahu hancurkan BN,” katanya lagi.