Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pula bertindak sebagai sekretariat bersama bagi menjamin keberkesanan setiap inisiatif.
PuTERA35 yang dilancarkan pada 19 Ogos 2024 adalah satu kerangka tindakan holistik untuk memperkukuh ekonomi Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berasaskan resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, PuTERA35 akan menjadi pemacu utama dalam transformasi ekonomi Bumiputera.
"Kejayaan pelan ini bakal mencorakkan masa depan negara yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan hari ini sempena genap setahun KEB 2024.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara matlamat utama PuTERA35 adalah membangunkan Bumiputera yang dinamik dan futuristik, berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa dan masa hadapan.
Matlamat lain adalah menetapkan sasaran yang lebih jelas dalam pengukuran tahap penyertaan, pemilikan, dan penguasaan ekonomi Bumiputera secara lebih bermakna
Bagi mencapai objektif yang digariskan, beliau berkata PuTERA35 menetapkan beberapa sasaran utama bagi Bumiputera menjelang 2035, antaranya penyertaan dalam pekerjaan mahir meningkat kepada 70 peratus.
"Sasaran lain adalah pemilikan ekuiti individu dan agensi mandat mencapai 30 peratus dan penguasaan dalam ekuiti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mencapai 20 peratus.
"Turut disasarkan adalah 97 peratus graduan Bumiputera mendapat pekerjaan dan penghapusan kemiskinan tegar dalam kalangan Bumiputera," katanya.
Ahmad Zahid berkata kejayaan PuTERA35 bergantung kepada pelaksanaan strategi komprehensif yang berteraskan kepada tiga elemen utama iaitu penyertaan, pemilikan, dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
"Penyertaan Bumiputera akan diperkukuhkan melalui peningkatan kemahiran dan pendidikan berkualiti tinggi, dengan memastikan golongan ini menguasai bidang berkemahiran tinggi serta teknologi terkini bagi bersaing di peringkat global.
"Pemilikan ekonomi pula akan dipertingkatkan dengan penyediaan pembiayaan perniagaan dan insentif pelaburan yang kondusif bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputera berkembang dengan kukuh dan mampan," katanya,
Dalam aspek penguasaan ekonomi, beliau berkata usaha akan ditumpukan kepada pemerkasaan mobiliti sosial bagi memastikan akses kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
"Usaha turut ditumpukan untuk memperkukuh ekosistem ekonomi Bumiputera melalui dasar yang lebih proaktif serta sokongan berterusan daripada agensi berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
