GEORGE TOWN: Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang pada 22 September ini.


Ringkasan AI
  • Chow Kon Yeow mengesahkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang.
  • Keputusan ini diambil supaya beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
  • Keputusan Chow membuka peluang untuk peralihan kepimpinan dalam DAP Pulau Pinang, yang akan membawa wajah baharu dalam kepimpinan parti di negeri tersebut.


Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau telah menerima surat daripada DAP Pusat mengenai pencalonannya pada 27 Ogos lepas, namun beliau memutuskan untuk menolaknya selepas membuat pertimbangan.

"Apabila saya dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas pilihan raya umum negeri pada 2023, Setiausaha Agung Loke Siew Fook telah mengarahkan saya untuk membuat pelan peralihan.

"Oleh itu saya telah memutuskan untuk mengambil langkah pertama pelan peralihan ini bagi membuka ruang kepada seorang pemimpin baharu dipilih sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang pada pemilihan Jawatankuasa Negeri 2024," katanya pada sidang media di bangunan Komtar di sini hari ini.

Chow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan menyifatkan keputusan itu sesuai pada masanya bagi memberi peluang pengerusi negeri yang baharu tempoh lebih tiga tahun untuk memimpin parti dan membuat persediaan menuju pilihan raya umum yang seterusnya.

Mengenai sama ada keputusan itu akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri, Chow berkata perkara itu terserah kepada parti kerana jawatan berkenaan dilantik oleh DAP.

Dalam pada itu, beliau juga yakin delegasi parti akan memilih Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang kuat dalam pemilihan ini untuk meneruskan legasi parti berkenaan di Pulau Mutiara itu.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada parti dan ahli kerana menyokong dan memberi saya peluang untuk berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang sejak 25 tahun lepas dan sebelum itu, lapan tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

Sementara itu, mengulas kedudukan Chow sebagai Ketua Menteri, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata Chow akan terus memegang jawatan itu sehingga akhir penggal ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri yang menghadkan jawatan Ketua Menteri selama dua penggal maksima.

"Saya mengambil maklum pengumuman oleh Chow bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang dengan menarik diri dari pemilihan parti dalam Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang pada 22 September akan datang.

"Saya menghormati keputusan dan pendirian beliau demi pembaharuan dalam kepimpinan DAP Pulau Pinang setelah menerajui Jawatankuasa DAP Pulau Pinang selama 25 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang kelima dan mengambil alih tampuk kepimpinan tertinggi negeri itu pada 2018.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua pada 13 Ogos 2023.

Pada pemilihan parti negeri 2021, Chow dipilih menjadi Pengerusi DAP negeri dengan undian tertinggi, iaitu majoriti 1,211 undi.

Kongres dan pemilihan DAP Pulau Pinang dijadualkan pada 22 Sept ini di Spice Arena, Bayan Lepas.


-- BERNAMA