Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dengan kemudahan penjagaan kesihatan bertaraf dunia, profesional perubatan berkemahiran, dan harga yang kompetitif, Pulau Pinang menawarkan gabungan antara penjagaan perubatan berkualiti dan sebagai destinasi pelancongan yang menarik.
“Semua faktor ini menarik kedatangan pesakit dari seluruh dunia dan jumlahnya meningkat dengan ketara. Sejak beberapa tahun ini, ia juga telah mencetuskan kesan berganda bagi kedua-dua pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) untuk sektor teknologi perubatan di Pulau Pinang.
“Hasilnya kita menyaksikan pertumbuhan pesat bagi kluster industri baharu," katanya pada Majlis Ulang Tahun Ke-100 Hospital Adventist Pulau Pinang di sini malam tadi.
Chow menambah reputasi Hospital Adventist Pulau Pinang, khususnya dalam rawatan pakar dan prosedur pembedahan telah membantu meletakkan Pulau Pinang sebagai satu daripada penyedia perkhidmatan perubatan terkemuka di rantau ini.
Sementara itu, beliau berkata Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Adventist juga telah mencipta banyak peluang kepada belia dan menyumbang kepada pengembangan bakat di negeri ini selain memastikan sektor penjagaan kesihatan kekal kompetitif.
Pulau Pinang menjana 45 peratus pendapatan dalam sektor pelancongan perubatan di Malaysia dan menduduki tempat pertama dalam sektor itu.
-- BERNAMA