PAS tidak membincangkan mengenai pembahagian kerusi antara UMNO melibatkan empat buah negeri - Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang - seperti didakwa, kata Setiausaha Agong parti Islam itu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, dakwaan dibuat Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa itu, dikatakan bagi mengelakkan berlaku pertandingan tiga penjuru, tidak benar sama sekali.

Bahkan, tambahnya, pada 'retreat' yang diadakan awal September lalu, pimpinan parti itu menegaskan keputusan Majlis Syura Ulamak bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan UMNO dalam setiap pertandingan sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, DUN.

“Saya menegaskan, yang pertama, Husam bukan lagi ahli PAS. Tak tahu lah kalau dia hantar jin.

"Dan saya menegaskan juga, tiada pun satu slot 'retreat' di Pulau Pangkor pada 6 hingga 8 September lalu (untuk) apa-apa perbincangan atau strategik hubungan kita dengan UMNO.



"Malahan, dalam 'retreat' itu ditegaskan, keputusan Majlis Syura Ulamak bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan UMNO.

"Dan dalam pertarungan di setiap kerusi Parlimen ditandingi oleh UMNO, kita akan lawan, itu ketegasan," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Takiyuddin menjelaskan, ini bukan kali pertama propaganda bahawa PAS ingin bergabung dengan UMNO disebarkan oleh Pakatan Harapan termasuk Amanah.

Bahkan, katanya, sudah kerap kali fitnah seumpama itu disebarkan dengan tujuan mengelirukan rakyat dan penyokong PAS.

Husam sebelum ini turut mendakwa bahawa lima orang veteran PAS turut menentang hasrat pimpinan PAS mengadakan kerjasama pembahagian kerusi dengan UMNO dan menulis surat kepada Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang.

Menurut Husam lagi, hasrat PAS ingin menjalinkan kerjasama pembahagian kerusi di negeri berkenan bertujuan mengelakkan berlaku pertandingan tiga penjuru yang mana ia akan menyebabkan sokongan dan undi kepada PAS merosot sekaligus mendorong kekalahan Pas terutama di Kelantan.