KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri menjanjikan proses yang telus, terbuka dan berakauntabiliti bagi pencalonan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan melibatkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Bersih dalam kenyataan pada Isnin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil peluang ini untuk menunjukkan iltizam bagi memperkukuhkan keupayaan dan kredibiliti SPR dengan melibatkan JPKP terutama dalam pelantikan ahli dari Sabah dalam pencalonan akan datang.
 
Ini susulan kekosongan ahli dari negeri itu sejak November tahun lepas.

"Walaupun secara perlembagaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Pengerusi SPR dan ahli-ahlinya adalah dipilih oleh Perdana Menteri yang mencalonkan mereka.

"Bersih ingin menyorot bahawa selaku penjaga proses pilihan raya, SPR adalah badan berperlembagaan yang terpenting tetapi untuk masa-masa selepas tahun 1967, mereka tidak menunjukkan tahap kebebasan, keadilan dan integriti yang diharapkan," katanya.

Antara isu utama yang dimaksudkan adalah berkaitan pelantikan pesuruhjaya daripada penjawat awam kanan yang telah bersara yang mana semuanya lelaki sehingga tahun 2018.

Sehingga tahun berkenaan, katanya SPR mempunyai ahli dengan kelayakan berkaitan pilihan raya yang dilantik daripada ahli akademik dan anggota masyarakat sivil.

Menurut jawatankuasa pemandu itu lagi, terdapat tiga manfaat besar yang diperolehi menerusi penglibatan JPKP.

"Antaranya, meningkatkan ketelusan dalam proses pelantikan jawatan penting, keyakinan dan keabsahan yang lebih jitu terhadap SPR dan yang ketiga, peranan yang lebih bermakna oleh Parlimen bagi memeriksa pelantikan jawatan penting, sebagaimana amalan demokrasi yang lebih matang di mana Dewan Perundangan boleh memeriksa, meneliti dan mengundi bagi jawatan-jawatan penting," katanya.

JPKP dijangka akan memilih pengerusi mereka dan memulakan tugas dalam mesyuarat Parlimen kali ini iaitu pada 22 Mei sehingga 15 Jun depan.