KUALA TERENGGANU: Pengunduran Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan satu cerminan parti itu lemah.

Sebaliknya, tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris, pengunduran itu tidak memberi kesan kepada parti berkenaan kerana tiada pimpinan lain mengambil tindakan sama.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu menangkis kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu semakin lemah dengan tindakan bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkenaan.

"Tak boleh ukur sebab Bersatu ini struktur, ratusan bahagian yang mana mempuyai ahli jawatankuasa bahagian, contoh di Terengganu kita ada 8 bahagian, 8 Parlimen, 8 bahagian.

"Kalau sekiranya ketua-ketua bahagian ini, ketua Armada, ketua Srikandi ini keluar bersama-sama Zuraida contoh, ada 10 bahagian daripada 100 lebih yang kita ada itu ikut, barulah nampak lemah.

"Sekarang ini satu bahagian pun tak keluar, dia sendiri sahaja," katanya.

Razali dalam pada itu yakin Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan mengikut jejak Zuraida untuk meninggalkan Bersatu.

Zuraida minggu lalu umum tinggalkan parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

BACA: Zuraida Kamaruddin letak jawatan menteri, umum tinggalkan Bersatu sertai PBM