Bapa mertua Rapelson Richard Hamit, calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) dalam pilihan raya kecil Tanjong Datu, berkata beliau tidak bersetuju menantunya menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu.

Galau anak Galih, 54, ketua rumah panjang dengan 19 keluarga di Kampong Temalan Dayak dekat sini, berkata beliau percaya menantunya itu diperdaya untuk bertanding.

Katanya, selaku anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, beliau perlu membuat penjelasan agar tidak dianggap antikerajaan.

"Tindakan menantu saya adalah pilihannya sendiri," kata Galau dalam sidang media, di sini hari ini.

Katanya beliau juga hanya tahu tentang hasrat Rapelson, 31, untuk bertanding itu pada saat-saat akhir.

"Saya terkejut dan kesal dengan keputusannya. Jika saya tahu lebih awal saya akan pujuk dia batalkan hasrat bertanding, lebih-lebih lagi di Tanjong Datu.

"Bagaimanapun nasi sudah menjadi bubur dan saya menggesa pengundi agar menyokong Jamilah kerana hanya kerajaan (BN) yang dapat membantu rakyat, terutama dalam isu tanah Hak Adat Bumiputera yang kini dieksploitasi oleh Rapelson dalam kempennya," kata beliau.

Galau yang juga peserta perladangan kelapa sawit komersil, berkata isu berkenaan harus ditangani oleh pemimpin Dayak dalam kerajaan dan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

"Begitu juga dengan isu seperti kurangnya peluang untuk Dayak dalam perkhidmatan awam dan lain-lain," katanya.

Galau berkata walaupun Rapelson memilih platform politik berbeza, hubungan kekeluargaan tidak akan terjejas.

-- BERNAMA