KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat telah menfitnah dan melontar tuduhan keterlaluan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Perpaduan yang dibentuk atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, kata Fahmi Fadzil.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, yang juga Menteri Komunikasi Digital itu berkata, Muhyiddin harus sedar Kerajaan hari ini bukan Kerajaan Pakatan Harapan, di mana Perdana Menteri boleh melantik sesiapa yang diingini.

Sebaliknya, kata Fahmi, ini adalah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk secara bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara musyawarah, termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri.

“Ini satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan Jemaah Menteri seringkali dibuat bukan mengikut saluran pimpinan utama parti.

“Pada ketika itu, kita saksikan kelompok-kelompok kartel dalam parti dipersenjatakan (weaponised) lalu mewujudkan keadaan “parti dalam parti” (party in a party) yang akhirnya merosakkan kestabilan politik dalaman parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: 'Kleptokrat' diangkat, Kabinet Anwar paling mengecewakan dalam sejarah - Muhyiddin

Awal hari ini, Muhyiddin, yang juga Perdana Menteri ke-8 berkata, tindakan Anwar yang melantik kalangan ‘kleptokrat’ menunjukkan beliau telah menggadai prinsip tatakelola baik, seperti yang dijaja sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Dakwa Ahli Parlimen Pagoh itu lagi, Kabinet yang diumumkan Anwar pada Jumaat disifatkan sebagai "paling mengecewakan" dalam sejarah negara.

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, berbeza dengan tiga pentadbiran sebelum ini, Perdana Menteri dan ketua parti dan gabungan di dalam Kerajaan Perpaduan, bersetuju senarai calon Jemaah Menteri akan ditentukan parti atau gabungan masing-masing.

“Sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak berpuas hati, janganlah marah atau melemparkan tohmahan kepada Perdana Menteri, kerana bukan Perdana Menteri yang menamakan calon-calon dari parti atau gabungan lain.

“Penting saya tegaskan komitmen Perdana Menteri bahawa Kerajaan Perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam mana-mana kes,” tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.