Selain itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pelesenan itu tidak terpakai kepada individu, sebaliknya hanya kepada penyedia platform seperti Facebook, WhatsApp serta Instagram.
“Pada masa ini kerajaan tidak berhasrat menutup (platform media sosial),” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Fahmi (PH-Lembah Pantai) menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu mengenai impak kepada perniagaan kecil yang bergantung kepada platform media sosial selepas pengenalan lesen berkenaan.
Menjawab lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menambah, bagaimanapun, mana-mana platform yang gagal mendapatkan lesen boleh dikenakan tindakan mengikut akta sedia ada.
“Memang ada tindakan yang boleh diambil termasuk kompaun sehingga RM250,000 atau di bawah kes yang dirujuk kepada mahkamah, denda boleh mencecah RM500,000 atau penjara lima tahun.
“Apabila disabit bersalah oleh mahkamah pula, boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari kerana beroperasi tanpa lesen,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan penguatkuasaan kerangka pelesenan itu tidak akan menjejaskan
pengguna yang menggunakan perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.
"Ini kerana hanya penyedia perkhidmatan sahaja yang diwajibkan untuk mendapatkan lesen yang berkaitan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
"Pengguna akan terus dapat menikmati pengalaman digital yang lebih selamat," katanya menjawab soalan asal Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).