Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat memasuki pintu 1 Istana Negara sekitar 4.32 petang bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau dilihat melambai tangan ke arah pengamal media yang berada di pekarangan Istana Negara sebelum memasuki pintu 1.
Istiadat tersebut dijadual berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pukul 5 petang ini.
Selain Anwar, turut dilihat memasuki Istana Negara ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.
[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara
Pelantikan Anwar yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri dicapai susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.