ALOR GAJAH: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata keyakinan itu berdasarkan kekuatan akar umbi di dua kawasan itu terutamanya di DUN Simpang Jeram yang menyaksikan kelahiran parti itu pada 2015.

"Kita juga berharap dapat meneruskan perjuangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempunyai rekod pencapaian dan telah memberikan perkhidmatan terbaik ketika menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut, sekali gus dilihat menjadi kekuatan Amanah untuk mengekalkan kemenangan di dua kerusi itu.

"Ramai orang tak ingat sebenarnya tapak penubuhan Amanah ialah di DUN Simpang Jeram, itu sebenarnya tapak asas parti dan kita ada kekuatan akar umbi di situ, jadi saya yakin kemenangan dapat diterjemahkan (pada PRK kali ini)," katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata keyakinan untuk memenangi kerusi itu juga berdasarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan serta kerajaan Johor iaitu antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong berikutan kematian penyandangnya Salahudin, 61, pada 23 Julai lepas di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, akibat pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos dan hari pengundian pada 9 Sept.

-- BERNAMA