KUALA SELANGOR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi optimis gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN mampu mencapai kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, 12 Ogos ini.

Ahmad Zahid menjangkakan gabungan itu bukan sekadar mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, malah akan memenangi lebih daripada itu.

"Saya jangkakan bukan sekadar mempertahankan kerusi yang ada, tetapi dengan bantuan daripada calon-calon BN, kedudukan kerusi akan melebihi berbanding yang diperoleh sebelum ini," katanya selepas menyantuni rakyat bersama calon PH Amidi Abdul Manan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, di pasar malam Pekan Ijok dekat sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga yakin kerusi Ijok yang menghadapi saingan tiga penjuru termasuk daripada Jefri Mejan (Perikatan Nasional) dan Tan Cat Keong (Bebas), akan kekal di tangan PH.

"Kita perlu berusaha agar masyarakat tidak mendengar fitnah atau isu-isu yang tidak munasabah. Yang penting kestabilan politik akan dapat terus memacu Selangor sebagai sebuah negeri perindustrian yang berteknologi tinggi," katanya.

Sebelum Dewan Undangan Negeri Selangor dibubarkan PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

-- BERNAMA