Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Ketua Polis Negara menyiasat dakwaan yang mengatakan bendera kecil yang dipacak di ibu negara adalah sebagai tanda tempat pembangkang memulakan demontrasi sekiranya kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Beliau juga berharap pihak berkuasa akan menyiasat laporan yang disiarkan beberapa laman blog selain maklumat yang disebar melalui sms berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berapa laman blog dan kiriman sms yang tersebar berhubung bendera kecil berwarna-warni yang dipacakkan di ibu negara yang dikatakan mempunyai makna tertentu.

Muhyiddin juga menyeru rakyat agar tidak takut untuk keluar mengundi 5 Mei ini kerana polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengeluarkan kenyataan menjamin keselamatan pengundi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan surat tawaran dan kunci Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RR1M) di Kampung Renchong Pagoh.