Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-13 pada 20 April ini iaitu pada Sabtu manakala hari pengundian ditetapkan pada 5 Mei iaitu pada Ahad.

Ini bermakna tempoh kempen bagi PRU-13 kali ini ialah selama 15 hari, tempoh yang paling lama sejak pilihan raya umum ke-6 pada 1982 dan menyamai tempoh kempen pada tahun itu.

Pengumuman dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof selepas SPR bermesyuarat di pejabatnya di Putrajaya, pagi tadi dan disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Abdul Aziz turut menetapkan tarikh pengundian pos bagi pengundi yang layak ditetapkan pada 30 April.

Seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang akan diwartakan esok (11 April).

Semasa membuat pengumuman tersebut, Abdul Aziz berkata writ pilihan raya dikeluarkan kepada kesemua pegawai pengurus pilihan raya di 222 kawasan Parlimen esok manakala notis pilihan raya dikeluarkan pada Jumaat ini.

"Bagi menjalankan PRU ke-13 ini, SPR akan menggunakan 8,789 pusat mengundi yang mengandungi 26,219 tempat mengundi (saluran).

"Bagi hari pengundian awal, sebanyak 544 pusat mengundi dengan 882 tempat mengundi akan dibuka.

"Manakala bagi pengundian biasa, sebanyak 8,245 pusat mengundi disediakan dengan 25,337 tempat mengundi," katanya.

Abdul Aziz juga berkata SPR telah memperoleh RM400 juta untuk menjalankan PRU ke 13.

Abdul Aziz turut berkata daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRU ke-13 ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011, Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2012, Suku Tahun Kedua 2012, Suku Tahun Ketiga 2012 dan Suku Tahun Keempat 2012.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya itu mengandungi 13,268,002 orang pemilih yang terdiri daripada 12,992,661 pemilih biasa, 161,251 orang tentera dan pasangan, 111,136 orang polis dan pasangan polis Gerakan Am (PGA) serta 2,954 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

"Bagi memastikan proses pelaksanaan PRU ke-13 berjalan lancar, SPR memohon agar semua pihak mematuhi undang-undang dan peraturan serta arahan pihak polis yang bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam," kata beliau.

Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN.

PRU-13