Ringkasan AI
- Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, memberi jaminan bahawa keselamatan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap berada dalam keadaan baik dengan 800 pegawai dan anggota polis bertugas untuk memastikan kelancaran proses pengundian.
- Pengundi dinasihatkan untuk tidak memberikan kad pengenalan kepada orang lain kecuali kepada petugas SPR, keluar mengundi awal untuk mengelak kesesakan lalu lintas dan cuaca tidak menentu, serta mematuhi peraturan lalu lintas.
- Semua penyokong parti diingatkan agar tidak membuat perarakan meraikan kemenangan atau melakukan provokasi selepas pengumuman keputusan PRK, dan sebarang perhimpunan atau perarakan tidak dibenarkan sebelum, semasa, atau selepas pengumuman keputusan.
Beliau memberi jaminan 800 pegawai dan anggota polis yang bertugas esok akan melaksanakan kawalan keselamatan dan menjaga ketenteraman bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
"Kami telah gerakkan dan menyusun pasukan polis untuk menjalankan semua tugas yang dirasa perlu terutama dalam menjaga keselamatan pengundi, malah kita juga akan menjaga lalu lintas bagi memastikan kelancaran ketika mereka keluar mengundi," katanya pada sidang media sempena PRK DUN Sungai Bakap di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.
Hamzah turut menasihati pengundi untuk tidak memberikan kad pengenalan mereka kepada orang lain kerana bimbang ia disalah guna, disabotaj atau tujuan lain oleh pihak tidak berkaitan, sebaliknya hanya menyerahkan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika di pusat pengundian esok.
Beliau berkata pengundi juga diminta keluar mengundi awal terutama pada sebelah pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan keadaan cuaca tidak menentu yang kerap hujan pada sebelah petang sekarang ini.
"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas khususnya ketika di tempat mengundi dan letakkan kenderaan mereka di tempat dibenarkan, dari segi keanggotaan polis trafik yang bertugas pula saya rasa ia mencukupi," katanya.
Hamzah berkata semua penyokong parti diingatkan untuk tidak membuat perarakan meraikan kemenangan atau melakukan sebarang provokasi selepas pengumuman keputusan PRK DUN Sungai Bakap malam esok.
Beliau berkata sebarang perhimpunan atau perarakan di mana-mana lokasi sama ada sebelum, semasa atau selepas penjumlahan rasmi dan pengumuman keputusan pilihan raya adalah tidak dibenarkan sama sekali.
PRK yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail itu diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
-- BERNAMA