Bekas Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas menentang calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan masa depan nasib politiknya.

Beliau juga enggan mengulas kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa rakyat menolak pemimpin yang meninggalkan parti.

"Itu hak beliau untuk membuat kenyataan dan saya tidak ada hendak kata apa-apa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamilia ditemui selepas majlis ringkas mengumumkan lima agenda yang beliau janjikan kepada penduduk di kawasan Parlimen Kuala Kangsar.

Menjawab soalan apakah perancangan politiknya jika kalah dalam pilihan raya umum ini, Kamilia berkata beliau hanya akan menyentuh perkara itu selepas hari pengundian pada 5 Mei nanti.

Najib yang singgah di Kuala Kangsar dalam siri jelajah kempen Pilihan Raya Umum ke-13 pada Jumaat menegaskan pemimpin yang meninggalkan UMNO tidak akan dapat sokongan rakyat.

Katanya, parti lebih penting daripada individu dan hakikat itu telah terbukti dalam sejarah.

"Sesiapa yang meninggalkan parti akhirnya akan ditolak oleh rakyat," tegas Najib, merujuk kepada tindakan pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar yang keluar daripada parti pada akhir 1950-an.

Kamilia dalam ucapannya sebelum itu berkata, beliau bertanding sebagai calon bebas kerana kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita UMNO Malaysia tidak diiktiraf untuk jadi calon kerusi Parlimen.

"Ini sumbangan saya yang terakhir kepada Wanita UMNO dan Wanita BN agar selepas ini tidak berlaku lagi seperti ini iaitu pemimpin kanan wanita tidak diberi pengiktirafan," katanya.

Pemimpin UMNO termasuk Najib sebelum ini menegaskan Kamilia telah ditawarkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan tetapi beliau menolak.

Kamilia hari ini menghuraikan lima agenda yang menjadi asas perjuangannya bertanding melanggar kehendak UMNO dan BN.

"Agenda ini saya simpulkan sebagai A-B-C-D-E supaya senang orang ingat," katanya.

Kamilia antara lain berjanji akan mengangkat hak dan martabat wanita melalui suara di Parlimen untuk membentuk dasar dan undang-undang Beliau juga berjanji mahu meningkatkan taraf hidup keluarga, perumahan untuk golongan muda dan menaik taraf pengangkutan awam di bandar ini.

Beliau juga mahu memperjuangkan pembinaan sebuah hospital pakar di Kuala Kangsar serta memastikan pengembangan dan pengagihan ekonomi yang lebih adil di kalangan rakyat.

"Saya harap tuan-tuan dan puan-puan yang mahu menyokong saya sama-sama kita kerja keras, Insya-Allah kita boleh.

"Percaya dan yakinlah kebenaran akan sentiasa memberikan kejayaan," katanya.

Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 50 orang yang terdiri daripada penyokong dan saudara-mara beliau, termasuk calon bebas DUN Bukit Chandan, Jahiddin Isa dan penyokongnnya.

Kamilia menentang calon Barisan Nasional, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad serta calon Pas, Khalil Idham Lim Abdullah.

Tindakan Kamilia bertanding sebagai calon bebas itu menyebabkan beliau dipecat serta-merta daripada UMNO, dan surat pemecatannya dikeluarkan pada 22 April lalu.

Beliau bagaimanapun dalam satu kenyataan melalui Facebook pada hari penamaan calon dua hari sebelum itu mengumumkan perletakan jawatannya dalam UMNO serta keluar parti.

Tindakannya itu mengejutkan Wanita UMNO khususnya bahagian Kuala Kangsar yang beliau pimpin serta dicemuh oleh pemimpin dan penyokong UMNO yang lain.

Najib singgah di Kuala Kangsar tiga hari selepas Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengadakan pertemuan dengan jentera sayap itu di bandar diraja ini.

Pertemuan Shahrizat itu menghantar mesej supaya Wanita UMNO Kuala Kangsar memastikan kerusi Parlimen berkenaan kekal dengan BN dan mereka mesti berkerja keras dua kali ganda untuk memastikan calon BN menang.

"Saya sendiri akan pantau (kempen) tiga kali sehari setiap hari dan serah laporan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib (Tun Razak)," katanya.

Shahrizat juga menyifatkan tindakan Kamilia itu ada hikmahnya kerana ia akan menguji kesetiaan ahli-ahli sayap itu kepada perjuangan parti.

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini diwakili selama enam penggal oleh bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz sejak pilihan raya umum 1986.

Rafidah adalah juga bekas Ketua Wanita UMNO sebelum sayap UMNO itu diambil alih terajunya oleh Shahrizat.

Dalam pilihan raya umum 2008, Rafidah mengalahkan calon Pas, Dr. Khairuddin Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.

Kuala Kangsar mempunyai 33,607 pengundi dengan majoriti Melayu 68 peratus diikuti pengundi Cina dan India masing-masing 28 dan 7 peratus.