Kemunculan bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding tiket bebas di Parlimen Kuala Kangsar memberikan lebih cabaran kepada calon Pas, Dr Idham Lim.

Tidak menolak kemungkinan adanya perpecahan undi, Dr Idham bagaimanapun berkata beliau akan bekerja keras demi memastikan kemenangannya di parlimen berkenaan.

"Saya bukan memandang remeh, itu sebab saya memberitahu jentera. tidak ada kemenangan melainkan kerja keras dalam pilihan raya kali ini,"

"Perubahan yang ingin saya bawakan untuk penduduk dan membela nasib mereka," kata Dr Idham yang juga merupakan penyandang kerusi DUN Titi Serong ketika ditemui di Kuala Kangsar.

Meskipun begitu berbeza dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad yang yakin BN akan menjadi pilihan pengundi.

Menyifatkan tindakan Datuk Kamilia Ibrahim tidak akan menggugat peluang BN untuk mengekalkan kerusi tersebut.

"Tak kisah la berapa penjuru, pada akhirnya mereka akan pilih satu. Lagipun jentera Umno di sini amat kuat dan bersemangat," katanya ketika dihubungi astroawani.com.

Wan Khairil Anuar juga yakin pengundi akan membuat pilihan dengan bijak.

Kamalia Ibrahim, 20 April lalu membuat keputusan mengejutkan dengan bertanding di Parlimen Kuala Kangsar atas tiket bebas.

Ia sekaligus menyaksikan pertembungan tiga penjuru termasuk Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Idham Lim dari Pas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi calon BN Datuk Seri Rafidah Aziz menewaskan calon Pas Dr. Khairudin Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.