Dewan di aras dua resort penginapan di tebing Sungai Perak di Kuala Kangsar itu pada pagi Sabtu lalu tidak penuh, hanya setengah ruang saja diisi oleh hadirin. Pada pagi itu, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar bertemu dengan para penyokongnya serta sukarelawan yang akan menggerakkan kempen beliau sehingga hari akhir kempen pada Sabtu ini.

Dewan itu dianggarkan boleh muat sehingga 200 orang tetapi jumlah mereka yang datang — setelah ditolak wartawan dan blogger, dan ditolak lagi ahli keluarga dan saudara mara Kamilia — adalah lebih kurang 40 orang. Kerusi-kerusi yang disusun sampai ke belakang tinggal kosong.

Ada di antara mereka yang datang untuk menawarkan khidmat jadi pekerja kempen; ada juga yang datang kerana hendak mendengar sendiri cerita daripada mulut Kamilia dan selebihnya, ada yang datang kerana bersimpati dengan perjalanan politik bekas Naib Ketua Wanita UMNO itu. Antara mereka yang datang itu, ada juga ahli Wanita UMNO Kuala Kangsar.

"Terima kasih kerana datang. Saya nampak yang ramai ini saudara mara yang menyokong perjuangan mak," kata anak sulung, Kamilia, Amirul Iskandar yang pagi itu jadi juruacara majlis.

Sejak mengemukakan pencalonannya pada 20 April lalu, Kamilia bergerak secara kecil-kecilan ke serata Kuala Kangsar dengan dibantu terutama oleh anak-anaknya. Dia masuk ke Manong sampai ke Senggang, Ulu Piol dan Bekor; balik ke pekan, masuk ke Lembah Sayong dan Bendang Kering, patah balik naik ke Bukit Residen sampai ke Bukit Chandan.



"Ini semua anak-anak saya yang buat dan beri idea," katanya menunjukkan kepada kain rentang, poster dan pamflet kempennya yang sedia untuk diagih-agihkan selepas majlis itu. Seorang daripada anaknya memakai baju T hitam dengan slogan: "Masa untuk HIJRAH, buka BUKU baru". Kamilia bertanding menggunakan simbol buku dalam PRU-13 ini.

Di kalangan pemerhati dan penganalisa politik, mereka tahu dan akur bahawa Kamilia ada pengalaman yang luas dalam kempen pilihan raya. Dia pernah mengepalai jentera Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dalam banyak kempen pilihan raya kecil sepanjang penggal parlimen yang lepas. Kempen itu digerakkan dari rumah ke rumah, dan itulah yang dilakukannya sekarang.

Tetapi kali ini, Kamilia jelas sekali nampak patah tangan dan kaki. Dia ada pengalaman tetapi tidak ada kumpulan pekerja yang ramai untuk meliputi seluruh kawasan mengundi.

Wajahnya pada pagi itu nampak lelah dan selebihnya agak resah. Tetapi daripada nada suara dan pemilihan kata-katanya, wanita berumur 58 tahun ini tidak luntur semangat dan keyakinannya.

"Percaya dan yakinlah, kebenaran akan memberikan kejayaan," katanya.

Kamilia memulakan kempennya secara rasmi pada Jumaat lepas — enam hari selepas penamaan calon — dengan solat Subuh di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. Dia kemudian bertemu dengan ahli qariah masjid itu untuk menjelaskan sebab musabab kenapa dia melanggar kehendak parti dan apa yang mahu dia perjuangkan.

najib razak

Beberapa jam kemudian, secara kebetulan ribuan warga Kuala Kangsar menyambut kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang singgah di bandar diraja ini dalam siri jelajah kempen pilihan raya. Dalam ucapannya, Najib menegaskan bahawa sokongan ahli dan penyokong BN terhadap parti itu tidak sedikit pun terjejas dengan tindakan pemimpin parti yang bertanding sebagai calon bebas.

"Siapa yang tinggalkan parti, rakyat akan tinggalkan dia kerana kepentingan parti lebih besar dan penting daripada kepentingan peribadi," kata Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Najib mengimbau sejarah politik UMNO dan negara — tentang bagaimana pengasas UMNO sendiri iaitu Datuk Onn Jaafar hilang sokongan rakyat selepas meninggalkan parti itu untuk membentuk Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan kemudiannya Parti Negara. Selepas keluar UMNO, kerjaya politik Datuk Onn malap dan kemudian padam biarpun ideanya tentang memecahkan politik perkauman yang ditolak oleh UMNO pada ketika itu dan menyebabkan beliau keluar parti kekal relevan sehingga ke hari ini.

"Dalam setiap pertubuhan termasuk parti politik, ada sempadan atau perimeter tertentu yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Sesiapa saja tidak akan terkecuali daripada tindakan sekiranya melampaui sempadan atau perimeter itu," kata Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, calon BN yang ditentang oleh Kamilia di Kuala Kangsar.

Wan Khair-il Anuar, 53, anak jati Kuala Kangsar. Dia lahir dan membesar di sini. Dia juga bersekolah di bandar diraja ini di SMK Clifford dan diasuh bahawa institusi lebih penting daripada mana-mana individu seperti slogan sekolah itu: "The ship is more than the crew".

Ketika UMNO berdepan krisis selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999, Wan Khair-il Anuar yang ketika itu jadi Timbalan Pengerusi Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ikut menyusun gerak kerja kempen menghadapi propaganda reformasi yang digerakkan dengan slogan "UMNO: Dulu, Kini dan Selamanya".

Oleh itu, beliau cukup memahami erti kesetiaan kepada UMNO dan perjuangan parti.

Bagi beliau, apabila Kamilia memajukan dirinya untuk bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan melanggar ketetapan parti, bekas Naib Ketua Wanita UMNO itu telah meletakkan kepentingan dirinya mengatasi kepentingan UMNO dan BN.

kamilia, wan khair

"Saya dan rakan-rakan mewakili BN untuk memastikan kerajaan BN ditubuhkan. Yang lain-lain, mereka hendak menubuhkan apa, kita tidak tahu?" katanya.

Tetapi bagi Kamilia, apa yang beliau lakukan itu adalah sebagai menegakkan prinsip — ia bukan untuk dirinya sendiri tetapi dia memajukan diri bertanding atas kedudukan jawatannya sebagai orang nombor dua dalam Wanita UMNO dan kedudukan pergerakan sayap itu sebagai tulang belakang parti. Dia juga menarik perhatian nasib sama yang dialami oleh beberapa pemimpin wanita BN yang lain. Katanya, dia memperjuangkan "apa yang hak, apa yang patut dan wajar."

"Ini sumbangan saya yang terakhir kepada Wanita UMNO dan Wanita BN agar selepas ini tidak berlaku lagi seperti ini wanita tidak diberi pengiktirafan," katanya.

Najib dan pemimpin UMNO Perak yang lain menegaskan bahawa Kamilia telah ditawarkan untuk bertanding kerusi DUN Bukit Chandan yang pada pilihan raya 2008 dimenangi oleh Wan Khair-il tetapi tawaran itu beliau tolak. Kamilia menafikan tawaran itu ada. Penafiannya itu bagaimanapun diselar oleh pemimpin UMNO negeri yang mendakwa tahu cerita sebenarnya.

"Biarlah Allah menjadi saksi," kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir seperti dipetik oleh laman web Agendadaily.

Kepada Zambry, apa yang berlaku ini ada hikmahnya. UMNO kini kenal siapa kawan dan siapa lawan; siapa pemimpin yang berbakti dan siapa pemimpin yang mengutamakan diri sendiri.

Di kalangan pemerhati politik, cerita Kamilia mahu bertanding kerusi Parlimen mencetuskan teori konspirasi tentang jawatan menteri kabinet sekiranya BN terus diberikan mandat oleh rakyat serta percaturan politik menjelang pemilihan UMNO yang dijadual akan berlangsung pada November nanti.

Tetapi persoalannya sekarang, selepas parti kononnya tidak memberikan pengiktirafan kepada Kamilia untuk bertanding, apakah pengundi Kuala Kangsar akan mengangkat beliau untuk mewakili mereka di Parlimen nanti? Itu yang lebih penting kerana pada akhirnya yang akan memilih adalah rakyat.

Kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 33,607 pengundi dengan 51.85 peratus daripadanya wanita; 30 peratus daripadanya pula berumur di bawah 40 tahun. Kamilia mengemukakan agendanya untuk memperjuangkan hak-hak wanita serta wakil suara dalam pembentukan dasar dan undang-undang.

Ada yang percaya bahawa Kamilia mungkin akan meraih undi simpati terutamanya daripada pengundi wanita. Ada juga yang mendakwa kononnya Kamilia ada pengikut lebih kurang 2,000 orang di kalangan ahli Wanita dan Puteri UMNO di Kuala Kangsar.

idham lim

Calon Pas, Khalil Idham Lim yang berpindah dari kerusi DUN Titi Serong ke kawasan Parlimen ini melihat Kamilia sebagai satu cabaran kerana setidak-tidaknya undi akan pecah. Malah di kalangan petugas Pas mereka sedikit resah kerana kempen BN tidak begitu rancak — membayangkan keyakinan parti itu ia akan menang.

Kalau ditanyakan kepada jentera UMNO yang bergerak sejak kempen pilihan raya ini bermula mereka cukup yakin bahawa pencalonan Kamilia tidak ada kesan kerana "orang Kuala Kangsar tak layan kes merajuk". Selebihnya, Kamilia dikatakan hanya ada pengaruh di kalangan Wanita UMNO dan bukannya kepada ahli-ahli UMNO keseluruhannya di Kuala Kangsar.

Tetapi pada akhirnya, rakyatlah yang akan menentukan pada Ahad ini apakah mereka akan mengundi kerana simpati atau memilih parti.