- SPR ingatkan tempoh kempen berakhir tengah malam Sabtu
- SPR nasihat ejen calon jangan umum keputusan tidak rasmi
- SPR jangka keputusan diketahui seawal 7.30 malam
- SPR ingatkan parti bertanding agar terima keputusan rakyat
- SPR ingatkan beberapa larangan pada hari pengundian
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan ejen parti politik di tempat pengiraan undi tidak melangkaui kuasa pegawai agensi itu dengan mengisytiharkan kemenangan calon tanpa keputusan rasmi.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan sebegitu akan menimbulkan ketegangan dan kekecohan.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Abdul Aziz juga mengingatkan pihak yang berkenaan agar tidak mempengaruhi orang ramai melakukan kekecohan dan demonstrasi jika calon mereka kalah atau tidak berpuas hati dengan keputusan.
Kalau tidak berpuas hati dengan keputusan, boleh buat petisyen dalam tempoh 12 hari selepas keputusan diwartakan, katanya.
Menurut Abdul Aziz, keputusan paling awal dijangka diketahui pukul 7.30 malam.
"Kepada pihak yang diisytiharkan menang pada pilihan raya ini, diharap tidak meraikan atau merayakan kemenangan secara melampau. SPR tidak ingin melihat berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan keharmonian dan ketenteraman awam.
"Bagi calon-calon yang tidak terpilih, mereka dinasihatkan menerima keputusan itu kerana keputusan tersebut ditentukan oleh pengundi dan mereka boleh mencuba lagi pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu ditanya mengenai kehadiran dua pemimpin PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua, di pejabat SPR hari ini, Abdul Aziz berkata beliau difahamkan kedua-dua mereka mahu mendapatkan penjelasan mengenai dakwat kekal.
"Saya tidak bertemu dengan kedua-dua mereka kerana sedang bersedia untuk mengadakan sidang media ini. Bagaimanapun nasihat saya kepada mereka supaya tidak mensensasikan isu dakwat kekal itu," katanya.
Kelibat Nurul Izzah dan Tian Chua dilihat meninggalkan bangunan SPR ketika sidang media berlangsung.
Sementara itu, Abdul Aziz mengingatkan semua parti politik bahawa tempoh berkempen pilihan raya umum ke-13, yang bermula 20 April lepas, akan tamat pada 11.59 malam esok.
Katanya, selepas tempoh itu, tiada aktiviti berkempen dibenarkan langsung terutamanya pada hari mengundi.
Pada Ahad ini, katanya SPR akan menguatkuasakan subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melarang diadakan, memanggil atau mengaturkan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan atau memberi ucapan terbuka.
Akta itu juga melarang membekalkan apa-apa alat pembesar suara bagi maksud politik serta melarang membuka pejabat atau barung di dalam bahagian pilihan raya, katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini.
"Dalam jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi, adalah dilarang menentukan identiti mana-mana orang yang memasuki sesuatu tempat mengundi, menyemak dalam senarai nama, merayu-rayu atau memujuk supaya orang tidak mengundi serta menunggu atau berdiri di tempat mengundi (tanpa sebab munasabah)," katanya.
Abdul Aziz berkata pada hari itu juga, SPR melarang mana-mana calon atau penyokongnya merayu undi di dalam bahagian pilihan raya dan dalam jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi atau dalam tempat mengundi memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan atau payung yang tertera nama calon, lambang dan simbol parti politik.
Bagi kesemua kesalahan itu, katanya pesalah boleh dipenjarakan sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, rumah persendirian yang berada dalam lingkungan jarak 50 meter dari sempadan pusat mengundi juga tidak dibenarkan untuk dijadikan tempat berkumpul dan meraih undi.
"Pejabat parti dalam kawasan 50 meter (sedia ada) dibenarkan beroperasi tetapi tidak boleh digunakan sebagai tempat meraih undi," katanya.
Abdul Aziz turut mengingatkan pelbagai pihak supaya tidak menjual, menawar atau membeli kertas undi dan mereka yang berbuat demikian, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka yang disabitkan juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau pengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga lima tahun dari tarikh sabitan.