Ceramah yang dihadiri ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecoh apabila berlaku insiden pergaduhan antara penyokong Pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) di Bukit Katil, malam tadi.

Suasana tegang mula berlaku apabila Anwar tiba dengan bas eksekutif iaitu dalam siri jelajah memerdekakan rakyat pada pukul 9 malam di kawasan lapang berhadapan Dewan Tun Ali.

Bagaimanapun, keadaan terus panas apabila berlaku pertikaman lidah dan provokasi diantara Anwar dan penceramah BN pada ceramah diadakan secara sebelah menyebelah berhadapan dewan berkenaan.

Anwar yang berceramah hampir sejam sehingga pukul 11 malam bagaimanapun diarah berhenti oleh polis berikutan suasana terus tegang dan kecoh apabila ada penyokong mula membaling batu.

Adegan membaling batu dan pergelutan diantara penyokong menyebabkan polis menerusi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menenangkan keadaan.

Ceramah yang dihadiri hampir 4,000 orang itu diarahkan berhenti serta-merta oleh polis bagi mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.

Namun, dua anggota polis yang bertugas cedera selain beberapa penyokong turut tercedera akibat terkena balingan batu dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menjalani rawatan.

Manakala, cermin dan pintu bas yang dinaiki Anwar turut pecah dibaling batu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua ceramah yang diadakan sebenarnya tidak dimaklumkan kepada polis dan melanggari akta perhimpunan aman.