Isu keselamatan akan menjadi keutamaan bagi calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lahad Datu sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Datuk Yusof Apdal melihat ia juga cerminan aspirasi rakyat di kawasan berkenaan yang inginkan jaminan keselamatan khususnya selepas insiden pencerobohan pengganas sulu.

Beliau juga yakin dengan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ia dapat memberi keyakinan kepada penduduk di kawasan pantai timur sabah itu.

“Ini yang penting sekali kerana jika keselamatan tidak baik memang susah memimpin di sini. Masyarakat rasa tidak yakin, pelabur tak akan datang dan semua akan menjadi kucar kacir. Ini yang paling penting sekali, keselamatan,” kata Datuk Yusof Apdal, calon DUN Lahad Datu.

Selain itu, beliau juga berjanji akan selalu turun padang bagi membantu penduduk di kawasan Lahad Datu jika diberi mandat.

“Saya akan sedaya upaya saya bekerja memikul amanat untuk rakyat di kawasan ini seperti harapan pemimpin kita Datuk Seri Najib Tun Razak, kita harus sentiasa mendampingi rakyat. Saya akan cuba menjadi pemimpin rakyat ini di mana saya akan sering berada di Lahad Datu bersama rakyat,” katanya lagi.

Kerusi DUN Lahad Datu menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu antara calon BN, SAPP, PKR dan STAR.

Terletak di bawah kerusi parlimen Silam, kawasan Lahad Datu mempunyai seramai 25, 232 pengundi.