Abu Adam Duaji, 74, berkata beliau sering mengingatkan Amizar, anak ketiga daripada tujuh beradik itu supaya hanya berjanji sekiranya perkara itu benar-benar berupaya untuk dilaksanakan terutama dalam kehangatan dan keghairahan berkempen ketika ini.
"Saya pesan, jika berjanji sentiasa ingat untuk tunaikan, jika tidak mampu tunaikan terus, usahakan juga untuk tunai sedikit demi sedikit, kena ingat bila dah berjanji ni kena pegang pada janji.
"Jangan cakap sahaja, janji itu janji ini, tidak tunai, itu tidak bagus, kita orang Islam kena ingat itu semua, ada hukumnya, dan jika Allah SWT izin Amizar jadi wakil rakyat kali ini, saya harap dia terus pegang pesanan saya ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Abu Adam yang menetap di Felda Chemomoi di sini berkata sekiranya keputusan PRK Pelangai memihak kepada Amizar, beliau pastinya akan menjadi 'tukang semak dan periksa' dalam memastikan anaknya itu menunaikan setiap apa yang dijanjikan kepada penduduk.
Pada PRK Pelangai 7 Okt ini, Amizar, 50, yang merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong akan berdepan dengan calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat di Elmina, Selangor pada 17 Ogos lepas.
-- BERNAMA