Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin antara 200 anggota ATM yang mengundi secara pos di Kampung Tanduo, kira-kira 160 kilometer dari sini, iaitu satu daripada kawasan Operasi Daulat.

Zulkifeli berkata proses mengundi di sini memberi makna besar kepada ATM selepas pasukan keselamatan negara menguasai semula kawasan itu yang diduduki pengganas dari selatan Filipina apabila menceroboh masuk ke Malaysia melalui kampung berkenaan pada Februari lepas.

"Di sinilah kita lancarkan serangan ofensif untuk memusnah dan menyingkirkan musuh dari tanah air kita untuk memastikan kedaulatan kita terpelihara, dan kita terus berada di sini kerana ini satu lokasi yang agak istimewa kepada ATM," katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Markas Taktikal 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diwujud di kampung berkenaan.

Beliau memulakan pengundian pada 9.30 pagi bersama Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Katanya, seramai 3,500 anggota tentera yang bertugas di kawasan Operasi Daulat di Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Tawau terlibat sebagai pengundi pos sejak semalam hingga esok.

Zulkefli berkata daripada jumlah itu, seramai 2,280 anggota tentera di Felda Sahabat di sini mengundi di enam pusat undi pos yang dibuka secara berperingkat.

Pengundian pos turut diadakan di Kampung Tanjung Batu, iaitu satu daripada kawasan Operasi Daulat pada 12 tengah hari, yang melibatkan 71 anggota.