Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan bahawa perbincangan mengenai penambahan 10 kerusi yang akan ditandingi parti Islam itu dalam Pilihan Raya umum ke-13 (PRU-13) masih lagi belum dimuktamadkan.

Beliau berkata sehingga hari ini perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan antara ketiga-tiga parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.

"Kita masih lagi bincangkan tentang perkara tersebut dan ia sudah di peringkat akhir.

"Perkara tersebut boleh diselesaikan sebelum penamaan calon," katanya dalam sidang media selepas program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran akhbar Sinar Harian.

Abdul Hadi minggu lalu mengumumkan Pas bakal bertanding lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum kali ini iaitu 76 kerusi Parlimen dan 237 kerusi Dewan Undangan Negeri. Dalam pilihan raya umum yang lepas, PAS bertanding 66 kerusi Parlimen dan 232 kerusi DUN.

PRU-13,PR13

Antaranya termasuk kerusi Parlimen Temerloh yang bakal ditandingi oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan. Kerusi itu pada 2008 ditandingi oleh PKR.

Susulan pengumuman itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamed Azmin Ali mengumumkan PKR akan bertanding di dua kerusi Parlimen yang sebelum ini ditandingi oleh Pas iaitu Bera dan Labuan.

Azmin turut mengumumkan PKR akan bertanding di Setiawangsa, kerusi yang diintai semula oleh Pas selepas ia diserahkan kepada PKR pada 2008.

Pada pilihan raya yang lalu, PAS menang di 23 kerusi Parlimen dan 83 kerusi DUN.

Pada sidang media sama, Abdul Hadi enggan mengulas soal bakal Perdana Menteri Pakatan Rakyat yang sehingga kini dilihat masih menjadi teka-teki.

Beliau sebaliknya menegaskan perkara berkaitan calon perdana menteri daripada pakatan pembangkang hanya akan diselesaikan apabila Pilihan Raya Umum ke-13 berakhir.

"Kita perlu menangkan (pilihan raya) dulu, baru kita tahu siapa (perdana menteri),” katanya.

Presiden Pas itu juga menegaskan beliau tidak sepatutnya mendahului rakyat dan sebagai menghormati sistem Raja Berperlembagaan, beliau tidak sepatutnya mengulas berkenaan perkara tersebut.

“Kita ada raja perlembagaan, tak boleh dahului. Ini adab kita. Saya tak boleh kata saya sedia (jadi Perdana Menteri). Saya hanya (boleh kata) sedia jadi khadam kepada rakyat,” katanya lagi.

DAP sebelum ini telah bersetuju untuk melantik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 akan datang.

Isu itu kemudiannya kembali berbangkit apabila pemimpin Dewan Muslimat dan Dewan Ulama PAS pada Muktamar PAS di Kelantan, November tahun lalu mencadangkan agar Abdul Hadi dilantik menjadi Perdana Menteri.