Jacquita Gonzales - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Keluarga anak kapal MH370 mahu kerajaan dan Syarikat penerbangan Malaysia Airlines MAS lebih kerap menghubungi mereka dalam memberikan perkembangan mahupun sokongan moral.
Menurut Jacquita Gonzales isteri kepada penyelia pesawat, Patrick Francis Gomez langkah itu bukan sahaja akan menenangkan kaum keluarga yang menagih jawapan terhadap kehilangan misteri pesawat Boeing 777 itu, tetapi ia perlu dilakukan bagi memastikan isu itu tidak lenyap begitu sahaja.
Ini kerana katanya, isu MH370 semakin sepi dan hambar serta semakin tidak diberikan perhatian sewajarnya. Malah keluarganya masih tertanya-tanya dengan perkembangan terkini dan tidak mahu hanya mendapatkan informasi dari media sahaja.
"Saya amat berharap semua pihak tidak akan melupakan isu kehilangan MH370. Jika perkara itu berlaku, MAS dan kerajaan perlu menjawab banyak pertanyaan terutamanya dari anak kapal,"
"Kalau dahulu MAS akan hubungi kami hampir setiap hari, tapi kini seminggu sekali pun amat sukar,"
"Masyarakat mungkin simpati dengan kami tapi mereka tidak mungkin faham dengan situasi kami. Jika kami dapat semadikan (sekiranya betul suami sudah tiada) kami akan merasa aman," kata wanita berusia hampir lima dekad itu sewaktu ditemubual wartawan Astro AWANI.
Perkongsian hidup Jacquita bersama suaminya hampir tiga dekad itu dikurniakan empat orang anak. Meskipun sudah lebih tiga bulan, keluarga itu masih setia mengharapkan kepulangan Patrick namun kehidupan perlu diteruskan.
"Walau apa pun jawapan yang diterima, kami perlu teruskan kehidupan, kami tiada pilihan. Malah sekarang kami sedang cuba. saya perlu bekerja, anak membesar namun dari sudut hati kami akan merasai kehilangan yang kami sayang,"
Pesawat MH370 hilang tanpa dapat dikesan sejak 8 Mac lalu selepas sejam selepas berlepas dari lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur KLIA untuk ke Beijing.