Baik para penggiat seni tempatan dan luar negara mahupun teater, masing-masing menunjukkan minat untuk mengabdikan memori tragedi pesawat MH370, yang masih hilang, dan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine, ke dalam hasil karya mereka untuk tontonan umum.

Apatah lagi, perkara berhubung fakta dan misteri yang masih menyelubungi kedua-dua tragedi yang jarak berlakunya hanya tiga bulan sahaja, menjadi perkara utama penerbit dan pengarah akan paparkan untuk menarik penonton menyaksikan hasil kreatif mereka.

Satu treler untuk filem mengenai kehilangan pesawat MH370, "The Vanishing Act: The Untold Story of the Missing Malaysian Plane" disiarkan pada festival filem Cannes.

Filem itu dikatakan akan dihasilkan oleh pengarah India, Rupesh Paul, yang dikatakan mendapat ilham daripada tragedi itu, yang masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.

Meskipun ramai yang menganggap filem Paul yang menyorot andaian kejadian dalam pesawat MH370 adalah tidak menarik dan masih terlalu awal kerana pesawat itu masih belum dijumpai serta punca kemalangan masih belum dipastikan, sejarah menunjukkan bahawa para penerbit mengambil kesempatan terhadap tragedi yang berlaku untuk menarik penonton ke layar perak atau pentas.

PENERBIT AMBIL KESEMPATAN TERHADAP TRAGEDI

Sejarah penerbitan filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin sekitar 1980-an serta pementasan teater Natrah arahan Erma Fatima pada 2010 memperlihatkan kisah kehidupan sebenar yang berlaku dalam masyarakat dan berjaya dipersembahkan ke layar perak.

Misalnya, teater kisah Natrah arahan Erma Fatima pada 2010 adalah satu lagi hasil sejarah yang kemudian berjaya dialihkan ke sebuah lakonan layar.

Natrah memaparkan peristiwa seorang budak perempuan bernama Natrah yang dibela satu keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang warganegara Belanda sehingga mengakibatkan 18 nyawa melayang dan 200 cedera akibat Rusuhan Natrah di Singapura pada 1950.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latif Mohd Rosli berkata tragedi pesawat MH370 dan MH17 tidak mustahil dapat difilemkan oleh pengkarya sekiranya mereka bijak mengolah insiden itu menjadi sebuah fiksyen yang menarik.

APAPUN ADA HAD

Menurut beliau, realiti sebenar yang berlaku boleh divisualkan asalkan mendapat kebenaran daripada ahli keluarga, kerajaan atau syarikat penerbangan itu sendiri.

"Saya tidak menafikan ramai karyawan yang berminat namun mereka bimbang dengan halangan yang wujud seperti sensitiviti keluarga mangsa tragedi, mengganggu siasatan dan memburukkan nama negara", katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Jurey berkata kerajaan harus memberi galakan yang positif kepada setiap penggiat seni dengan membenarkan tragedi MH370 dan MH17 dilihat dari sudut kemanusiaan supaya penterjemahan kisah benar itu dipersembahkan dari sudut yang menarik.

"Contohnya, pengarah boleh menggambarkan keikhlasan sukarelewan yang bekerja siang dan malam, peranan kerajaan yang bersikap positif ketika berdepan dengan keluarga mangsa nahas serta media asing ataupun istiadat penerimaan mayat mangsa yang dilaksanakan dengan penuh tertib", katanya.

Jelas beliau, walau apa bentuk medium yang bakal dipaparkan, namun cerita keperitan, rintihan dan kesedihan ahli keluarga mangsa boleh divisualkan asalkan jalan ceritanya tidak lari daripada kisah sebenar.

FIKSYEN

"Bagaimanapun, perlu diingat, pengkarya hanya mengambil 10 peratus daripada kisah sebenar manakala selebihnya adalah melalui fiksyen yang lahir daripada kreativiti pengarah dan pelakon", katanya.

Jurey menegaskan walaupun melibatkan kos yang tinggi namun beliau yakin hasil kerja mengenai tragedi MH370 dan MH17 mampu diangkat sebagai naskah agung serta tidak mustahil mampu menyertai Festival Filem di peringkat antarabangsa pada masa hadapan.

Pengarah teater, Khusiary Mahayuddin berkata beliau berminat untuk memindahkan tragedi MH370 dan MH17 ke pentas teater namun memahami kesukaran yang bakal dilalui untuk pementasan itu direalisasikan.

Khusairy berkata kualiti skrip yang telah dinilai oleh pihak berwajib perlu dititikberatkan sebelum berani mengambil risiko mementaskan tragedi MH370 dan MH17 dalam konsep 'monodrama'.

Jelas beliau, elemen kemanusiaan dalam tragedi MH370 dan MH17 akan dapat diketengahkan supaya mesej positif dalam kisah itu dapat diluahkan dengan baik.

TEATER

"Ini akan dibantu melalui aspek visual, audio, pencahayaan serta kekuatan pelakon itu sendiri menterjemahkan setiap watak dalam teater berkonsepkan kesedihan ini", katanya.

Khusiary berkata menghasilkan teater daripada kisah benar memerlukan kos yang agak tinggi iaitu antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi memastikan konsep teater bercorak diingini mencapai matlamat.

Pelakon yang sering memegang watak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Musly Amir Mohammed Ramli atau Musly Ramlee berkata beliau bersetuju sekiranya tragedi yang menimpa syarikat penerbangan negara divisualkan namun hendaklah dilakukan dalam tempoh lima tahun lagi.

Menurut beliau, tempoh itu cukup bagi mengembalikan semula ingatan kepada masyarakat terhadap peristiwa yang meninggalkan detik hitam kepada rakyat negara ini.

"Tidak sesuai jika pembikinan filem, drama atau teater dilakukan sekarang, kerana waris mangsa masih bersedih atas kehilangan orang yang tersayang, biarlah ketika ini situasi waris diutamakan", katanya.

Musly, yang sudah 20 tahun 'menjelmakan' watak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di dalam dirinya, berkata, menghidupkan watak individu yang telah meninggal dunia memerlukan cabaran dari segi mental kerana tidak semua orang akan menyukainya.