Beliau berkata jangkaan itu serupa dengan unjuran oleh bank itu sebanyak 4.5 peratus untuk tahun depan.
"Belanjawan 2025 adalah langkah terbaik untuk mengimbangi keutamaan ekonomi dengan realiti politik.
"Kerajaan kekal komited kepada penyatuan fiskal, menyasarkan defisit fiskal lebih kecil sebanyak 3.8 peratus daripada KDNK berbanding KDNK 4.3 peratus pada 2024, secara umumnya ia sejajar dengan jangkaan kami sebanyak 3.5-3.8 peratus daripada KDNK," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Lavanya percaya bahawa keputusan untuk meluaskan asas cukai dengan meningkatkan skop cukai jualan dan perkhidmatan, mengenakan cukai sebanyak 2.0 peratus terhadap ambang tertentu dan meletakkan asas untuk memperkenalkan cukai karbon dalam sektor tertentu, adalah langkah yang betul.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Rating Corporation Bhd, Arshad Mohamed Ismail berkata Belanjawan 2025 mengukuhkan fokus kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi sambil mengekalkan penyatuan fiskal dari semasa ke semasa.
Beliau berkata tahun semasa adalah kukuh dari segi pertumbuhan ekonomi, melepasi jangkaan awal dengan kerajaan mengunjurkan pertumbuhan 2024 antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus.
"Asas yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 telah memainkan peranan penting dalam menyokong momentum ini sejajar dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Memandangkan 2025 adalah tahun terakhir RMK-12, Belanjawan 2025 menetapkan asas kukuh untuk mencapai pertumbuhan pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, menyediakan asas kukuh bagi Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang," katanya.
Beliau berkata sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada 2025, menandakan potensi peningkatan daripada 4.3 peratus pada 2024, membuka jalan untuk mengukuhkan kekuatan kewangan kerajaan dan sejajar dengan matlamat digariskan dalam Rangka Kerja Jangka Sederhana.
"Pengenalan langkah meningkatkan hasil pada 2025 termasuk Cukai Minimum Global dan Cukai Dividen, ditambah pula dengan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 menjelang pertengahan 2025 diharap dapat mengekalkan agenda reformasi yang sedang berjalan dan menandakan komitmen ebih kukuh terhadap penyatuan fiskal pada masa depan," katanya.
Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2025, justeru belanjawan ini juga menunjukkan kesediaan negara untuk mengharungi cabaran masa depan.
Sementara itu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata tumpuan kepada rasionalisasi subsidi dan perluasan asas cukai mencerminkan kehematan fiskal yang kukuh, mengukuhkan daya tahan negara dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Secara keseluruhannya, KRI berkata Belanjawan 2025 adalah satu langkah ke hadapan untuk pembangunan Malaysia, mencapai keseimbangan penting antara meningkatkan kedudukan ekonomi global negara dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA