Diplomasi rahsia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemberontak pro-Rusia dalam mencapai persetujuan untuk mendapatkan semula kotak hitam dari lokasi kemalangan MH17 menunjukkan keikhlasan Najib dalam isu nahas MH17.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan perlu mencari segera mayat mangsa dengan menggunakan semua sumber yang ada.

"Syarikat penerbangan itu milik kita. Ia tanggungjawab Perdana Menteri untuk menunjukkan komitmen dalam menyelesaikan perkara itu," katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual eksklusif dari Kiev.

Ahmad Zahid berkata, tragedi itu tidak dijangka dan kesedihan keluarga mangsa harus dikongsi seluruh rakyat negara ini.

"Apa yang berlaku adalah di luar jangkaan, kini kita perlu bertindak dengan segera untuk menyelesaikannya.

"Komitmen kerajaan adalah bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menyiasat dan membawa bukti kukuh ke mahkamah jika perlu," jelasnya.



Ahmad Zahid juga turut mengakui rakyat perlu banyak bersabar walaupun lega dengan perkembangan siasatan terkini.

"Siasatan ini sangat rumit. Kita perlu bersabar. Kita perlu memahami ia akan menjadi lebih mudah seandainya insiden itu berlaku di kawasan bukan konflik.

"Namun ia terjadi di kawasan konflik dan kita perlu menangani isu ini dengan cara terbaik," katanya.
Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dikatakan ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di Donetsk ke timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai lalu.