SEBAGAI seorang ibu yang mempunyai dua orang anak yang mengalami autisme, pengumuman Yang Berhormat Dr Maszlee Malek, Menteri Pendidikan, mengenai perlaksanaan Zero Reject Policy (ZRP) atau Polisi Penolakan Sifar untuk anak-anak berkeperluan khas mengakses pendidikan membuatkan saya terkesima.

Setelah 20 tahun saya terlibat dalam usaha advokasi hak anak-anak berkeperluan khas menjejakkan kaki ke sekolah, hanya pada tahun 2018 inilah usaha kami membuahkan hasil. Ucapan jutaan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan yang paling cakna mengenai keperluan pendidikan anak-anak berkeperluan khas.

Walau bagaimana pun, di dalam rasa kesyukuran dengan pelancaran ZRP, terdapat juga pihak yang berasa bimbang dan curiga tentang implementasi polisi ini, baik dalam kalangan guru mahu pun ibu bapa.

Bagi pihak guru-guru, terutamanya guru-guru Pendidikan Khas, ada yang berasa bimbang samada mereka mampu mendidik anak-anak berkeperluan khas berkefungsian rendah yang selama ini tidak diterima di sekolah kerajaan; samada berkemampuan dari segi kemahiran mengajar dan/atau dari segi menanggung bebanan tugas.

Bagi pihak ibu bapa pula, mereka berasa bimbang samada anak mereka akan benar-benar diterima masuk ke sekolah, dan sekiranya ya, adakah akan ditempatkan di program yang bersesuaian dengan anak; Program Pendidikan Khas Integrasi atau Program Pendidikan Inklusif? Selanjutnya kebimbangan ibu bapa berkisar mengenai samada anak mereka akan diterima dengan baik oleh warga sekolah.

Zero Reject Policy ini adalah suatu perubahan besar dalam pendidikan bagi anak-anak berkeperluan khas. Maka tidak hairanlah, pemegang-pemegang taruh berasa bimbang mahu pun curiga. Namun perasaan-perasaan negatif yang bersarang di dada jangan dibiarkan tanpa ditangani dengan baik, kerana jika Zero Reject Policy tidak diterima dengan baik oleh pemegang-pemegang taruh, ini akan membawa kerugian besar.

Pertama sekali, tentulah kerugian besar kepada anak berkeperluan khas itu sendiri. Peluang menjejakkan kaki ke sekolah sepatutnya dapat menjamin masa hadapan yang lebih cerah. Namun jika kehadiran anak ini ke sekolah tidak disantuni dengan baik oleh pihak pentadbir sekolah dan guru serta tidak disokong dengan baik oleh pihak ibu bapa, masa hadapan anak ini mungkin akan menjadi kelam.

Kedua, kerugian akan menimpa negara jika ZRP tidak berjaya. Anak-anak berkeperluan khas yang tidak berjaya dididik untuk menjadi ahli masyarakat yang mampu berdikari dan menyara diri, akan menjadi bebanan kepada sistem kebajikan negara. Impak negatif ini akan mula dilihat apabila ibu bapa mereka sudah tiada dan adik beradik tidak mampu untuk menjaga mereka. Opsyen terakhir untuk mereka menyambung kehidupan adalah di rumah-rumah kebajikan yang rata-ratanya dibiayai oleh Kerajaan.

Ketiga, adalah kerugian kepada ibu bapa dan keluarga apabila anak-anak berkeperluan khas tidak berjaya dididik untuk mampu berdikari dan menyara diri sendiri. Ahli keluarga perlu bersedia dari segi mental, fizikal dan kewangan untuk menyara anak berkeperluan khas sepanjang hayat mereka.

Dan terakhir sekali, terdapat juga kerugian di pihak guru-guru iaitu kerugian untuk mengaut sebanyak mungkin pahala dengan berbakti kepada ahli syurga yang juga mungkin dapat berkongsi syafaat mereka di akhirat nanti. Bak kata teman baik saya, “Mendidik anak-anak istimewa adalah tiket kelas pertama ke syurga.”

Namun, kebimbangan guru-guru juga adalah valid. Dengan pelancaran ZRP, mereka wajib menerima anak-anak berkeperluan khas yang mempunyai kefungsian yang rendah yang mereka belum pernah tangani. Sudah tentulah mereka memerlukan latihan untuk meningkatkan kemahiran menaksir, merancang pendidikan, mendidik, memantau serta menilai perkembangan anak-anak ini.

Guru-guru juga perlu sedar bahawa mereka bukan sahaja akan berhadapan dengan anak-anak ini, tetapi mereka juga perlu berhadapan dengan ibu bapa kepada anak-anak ini.

Pengalaman penulis selama 16 tahun di dalam bidang Intervensi Awal mendapati bahawa menangani karenah ibu bapa adalah lebih rumit daripada karenah anak-anak berkeperluan khas, maka guru-guru juga memerlukan latihan untuk meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills) mereka.

Peningkatan kemahiran juga perlu dalam kalangan ibu bapa kerana anak tidak dapat berkembang dengan optimum jika hanya mengharapkan usaha guru. Banyak aktiviti mudah yang boleh dijalankan oleh ibu bapa di rumah. Namun pokok pangkalnya ibu bapa perlu ada ilmu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana melakukannya. Alhamdulillah, dewasa ini semakin banyak sumber ilmu untuk ibu bapa gali.

Sebagai contoh, Permata Kurnia mempunyai kursus atas talian yang dikenali sebagai iKurnia (www.udemy.com/ikurnia-asasautisme) dan juga himpunan bengkel-bengkel yang boleh diakses di YouTube Permata Kurnia. Walau pun kursus-kursus ini dibangunkan khusus untuk anak-anak yang mengalami autisme, sebahagian besar isi kandungannya juga sesuai untuk anak-anak istimewa yang lain.

Untuk mengatasi kebimbangan dalam kalangan guru mahu pun ibu bapa, kita perlu ingat bahawa anak berkeperluan khas yang hadir di dalam kelas kita mahu pun hidup kita ada hikmahnya yag tak mampu difahami oleh akal manusia kita yang pendek.

Namun jika kita tidak melihat hikmah yang mereka bawa ke dalam hidup kita, alangkah ruginya!

Untuk para guru, setiap saat anda mendidik anak-anak ini, percayalah anda akan meraih pahala dan berkahNya.

Begitu juga dengan para ibu bapa, anak-anak istimewa ini mungkin menuntut kesabaran, kewangan dan usaha yang tinggi jika dibandingkan dengan anak-anak lain, namun percayalah bahawa pahala dan bekahNya juga berlipat ganda.

Dan saya juga ingin saham pahala yang sama, maka melalui kolum ini di minggu-minggu yang akan datang, saya akan berkongsi beberapa strategi dan tip untuk membantu para ibu bapa dan guru dalam usaha untuk menjayakan ZRP demi masa hadapan anak-anak isi syurga kita.

* Prof Madya Dr Hasnah Toran merupakan Pengarah, Pusat Permata Kurnia.

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.