KUALA LUMPUR: Sistem baharu bagi proses pas penggajian ekspatriat Xpats Gateway, dapat memendekkan masa kelulusan dan menyeragamkan prosedur sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran pas berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mazrina Mohamed Ibramsah berkata Xpats Gateway memanfaatkan teknologi digital dengan menyatukan semua agensi pelulus (AP) dan agensi kawal selia (AKS) di bawah satu platform tetingkap tunggal yang bersepadu atau 'single window'.

"Kini, semua AP dan AKS boleh memproses dan meluluskan surat sokongan bagi permohonan pas penggajian dengan lebih telus menerusi sistem Xpats Gateway secara dalam talian seawal lima hari bekerja", katanya dalam kenyataan hari ini.

Xpats Gateway adalah hasil sinergi inovasi antara kerajaan dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran pas ekspatriat di bawah seliaan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Menurut kenyataan, MPC telah memudah cara inisiatif itu dengan kerjasama strategik, melibatkan lebih 20 agensi kerajaan dalam memastikan pelaksanaan inisiatif rentas agensi ini bakal mentransformasikan tadbir urus inisiatif berimpak tinggi.

MPC memaklumkan inisiatif itu juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan kerajaan sebagai satu daripada strategi Memperkasa Ekonomi Madani.

Dr Mazrina berkata MPC sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan kementerian dan agensi dalam menambah baik tadbir urus serta meningkatkan kecekapan kerajaan bagi memacu produktiviti negara.

"Menurut laporan Ranking Daya Saing Dunia (WCR), Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), Malaysia mencapai kedudukan ke-29 bagi indikator Kecekapan Kerajaan pada tahun ini berbanding kedudukan ke-38 pada tahun sebelumnya," katanya.

Xpats Gateway yang dilancarkan pada 15 Jun lepas merupakan inisiatif kerajaan dalam urusan permohonan pas penggajian ekspatriat, supaya menjadi lebih efisien, mudah dan mengambil masa yang lebih singkat.

Inisiatif itu mengumpulkan agensi pelulus dan agensi kawal selia berkaitan penggajian ekspatriat di bawah satu platform dan menyediakan proses end-to-end yang lebih berkesan dan cepat.

-- BERNAMA