Acara pembukaan WSC 2024, yang merupakan acara ketiga terbesar di Perancis selepas Sukan Olimpik dan Paralimpik itu dirasmikan Presiden Perancis Emmanuel Macron di Arena LDLC, tempat berlangsungnya acara terbesar di Lyon.
Pada acara berkenaan, semua kontinjen negara yang menyertai WSC berarak masuk sambil membawa bendera negara masing-masing dengan sorakan gemuruh.
Palestin, menerusi penyertaan seorang belia, turut menerima sorakan dan tepukan gemuruh daripada lebih 12,000 hadirin yang memenuhi Arena LDLC pada acara tersebut.
WSC 2024, yang berlangsung sehingga 15 Sept ini, menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bertanding dalam 62 kategori kemahiran.
Malaysia menyertai 14 daripada kategori ini, termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat, dan Pembinaan Digital."
Dengan membariskan belia berkemahiran tinggi daripada pelbagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Malaysia pastinya mengidamkan untuk menuai pingat emas pertama pada temasya kali ini.
Walau apa jua kejayaan yang dicapai oleh belia Malaysia pada WSC 2024, bidang TVET tidak lagi boleh dipandang sepi atau dianggap sebagai pilihan kerjaya kedua, kerana ia jelas membuka peluang dan ruang yang luas untuk golongan muda."
Tumpuan, peruntukan, serta pendedahan berterusan dalam TVET perlu diberi penekanan bagi melahirkan belia tempatan yang mahir dan menjadi rebutan di peringkat antarabangsa.
Presiden WorldSkills International (WSI) Chris Humphries dalam sidang media semalam, berkata bahawa pelaburan dalam kemahiran adalah penting kerana ia merupakan cara yang efektif untuk mencipta pekerjaan dan membina ekonomi mampan.
Katanya, kemahiran ialah kunci untuk memperkasakan belia, mengurangkan ketidaksamaan, merangsang daya saing industri dan menjamin kelestarian.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam WSC 2024 akan membolehkan negara meneroka pelbagai teknologi dan amalan terbaik dalam sektor TVET di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA